PRESTASI Sri Pahang FC sememangnya amat mengecewakan musim ini kerana mereka baru sahaja mencatat satu kemenangan sulung dalam tujuh aksi Liga Super.
Kejayaan menundukkan Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada aksi pembukaan merupakan satu-satunya perlawanan yang menyaksikan mereka pulang dengan tiga mata penuh.
Tetapi, selepas itu, skuad Tok Gajah hanya mampu mengumpul tiga mata hasil keputusan seri ke atas Selangor FC, Kuching City FC serta Kuala Lumpur (KL) City FC.
BACA LAGI: Faisal Halim, 'The Silent Killer' antara nama pernah wakili TFC, Sri Pahang
BACA LAGI: Bukan benda baharu, dulu pun isu pertahanan Pahang buat jurulatih pening sendiri
Skuad Tok Gajah sudah mengalami tiga kekalahan dalam Liga Super musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC
Prestasi terumbang ambing berkenaan menyaksikan pasukan bimbingan Fandi Ahmad kini berada di kedudukan ke-10 dengan tugasan berat harus dipikul sekiranya mereka mahu mengulangi momentum musim lalu.
Bagaimanapun, harapan itu bukanlah mudah memandangkan Sri Pahang FC bakal bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu untuk aksi Liga Super menentang skuad Sang Penyu pada Jumaat.
Aksi Derbi Pantai Timur tersebut sememangnya sukar bagi skuad Tok Gajah untuk mencatatkan kemenangan kedua kerana lawan mereka itu kini berada di kedudukan ketiga.
Ketajaman jentera serangan diketuai Safawi Rasid serta keampuhan benteng pertahanan perlu diakui, lebih-lebih lagi dengan kelab Pantai Timur berkenaan merekodkan tiga kemenangan dalam lima perlawanan terakhir.
Namun, bagi Sergio Aguero yang merupakan kapten Sri Pahang FC, peluang masih terbuka bagi mereka membawa pulang tiga mata melihat kepada persembahan pasukan di atas padang.
Skuad Tok Gajah meraih kemenangan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin musim lalu. — Facebook/Sri Pahang FC
"Gaya permainan kami boleh dikatakan agak baik, tetapi keputusan dimahukan gagal direkodkan. Sebagai contoh, ketika tewas kepada Sabah FC, kami beraksi dengan cemerlang, namun nasib tidak memihak kepada kami.
"Tetapi, kami bermotivasi tinggi dan sudah bersedia bagi menghadapi aksi menentang Terengganu FC," katanya.
Berdasarkan skuad semasa Sri Pahang FC, Aguero merupakan antara pemimpin yang sering diberikan kepercayaan di samping dua bek tengah pasukan, Stefano Brundo dan Fadhli Shas.
Namun, dalam enam penampilan Liga Super, pemain naturalisasi negara itu tidak dapat menerapkan kesungguhan untuk membantu skuad Tok Gajah menjadi pasukan digeruni.
Malah, di hadapan pintu gol, perancang kelahiran Argentina berkenaan juga sedikit tumpul dengan hanya satu bantuan jaringan direkodkan setakat ini.
Untuk rekod, kali terakhir skuad Tok Gajah bertandang ke Terengganu menyaksikan mereka meraih kemenangan 2-1 menerusi gol Nor Azam Azih dan Kpah Sherman sementara jaringan tuan rumah dihasilkan Ivan Mamut. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram