Bukan benda baharu, dulu pun isu pertahanan Pahang buat jurulatih pening sendiri


  • Podium
  • Isnin, 12 Ogos 2024

Skuad Tok Gajah sudah melepaskan 11 gol musim ini dengan ia adalah antara punca di sebalik kemerosotan pasukan. — Facebook/Sri Pahang FC

MASALAH pertahanan Sri Pahang FC cukup merisaukan apabila kelab berkenaan sudah dibolosi sebanyak 11 kali dalam lapan perlawanan yang meletakkan mereka di kedudukan ke-11 Liga Super.

Walaupun jumlah itu tidaklah begitu teruk, isu tersebut menjadikan mereka sukar untuk meraih lebih banyak mata dengan hanya satu kemenangan direkodkan setakat ini.

Sekiranya masalah tersebut berterusan, harapan skuad Tok Gajah dalam mempertahankan kedudukan kelima musim lalu tidak tercapai, apatah lagi untuk memperbaikinya.

BACA LAGI: Masih kekal badi Darul Makmur, Selangor gagal manfaat peluang kad merah Sri Pahang

BACA LAGI: 'Selangor akan dominan lawan Sri Pahang, tak selesai masalah jika pecat Fandi Ahmad'

454754974_876773111151388_4128148921933324996_n

Prestasi skuad Tok Gajah amat tidak menentu musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC

Bagaimanapun, isu berkenaan bukanlah sesuatu yang baharu apabila sebelum ini, isu kebocoran pertahanan pernah memberi kesan hebat terhadap Pahang.

Mereka yang ketika itu berada di bawah kendalian Datuk Zainal Abidin Hassan pernah mensia-siakan kelebihan tiga gol dalam aksi Liga Super berdepan Kelantan.

Selepas mendahului 4-1, skuad Tok Gajah melakukan beberapa kesilapan di benteng pertahanan, termasuk menghadiahkan sepakan penalti buat pihak lawan pada penghujung permainan sememangnya sukar diterima.

Meskipun akhirnya meraih kemenangan 5-3, masalah itu menerima respons daripada Zainal yang tidak mahu anak-anak buahnya melakukan kesilapan sama dalam perlawanan demi perlawanan.

Luahan itu turut dibuat memandangkan Pahang ketika itu merupakan pesaing hebat kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan hanya jurang kecil membezakan mereka.

WhatsApp Image 2024-08-12 at 5.19.53 PM

Zainal Abidin (kanan) pernah runsing dengan isu pertahanan skuad Tok Gajah.

Isu tersebut akhirnya membawa padah apabila pada penghujung musim, skuad Tok Gajah hanya kekurangan dua mata untuk menjulang takhta Liga Super yang menjadi milik skuad Harimau Selatan.

Lebih mengecewakan lagi, rekod pertahanan kelab Pantai Timur itu juga lebih buruk berbanding Selangor dan Felda United meskipun mereka berada di kedudukan kedua Liga Super.

Kini, masalah itu masih tidak diperbaiki meskipun benteng pertahanan merupakan fokus utama Fandi Ahmad sebagai pengendali sepanjang jendela perpindahan lalu.

Kemasukan Aleksandar Cvetkovic dan Adam Nor Azlin selain kejayaan mengekalkan khidmat Fadhli Shas serta Azrif Nasrulhaq dari JDT belum membawa sinar terbaik.

Sekiranya penyelesaian tidak hadir segera, kemungkinan Sri Pahang akan terus menjadi pasukan yang longlai di barisan pertahanan sehingga penghujung saingan Liga Super 2024/25. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram