KEKURANGAN dari segi kualiti pemain dalam pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) berbanding dengan pasukan lain yang bersaing dalam saingan Liga Super musim ini, menjadi faktor kesukaran skuad itu untuk memperagakan aksi terbaik dan bangkit mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan.
Itulah kesimpulan yang dibuat pengendali skuad Jang, Azzmi Ab Aziz, selepas skuad bimbingannya terus mencatat keputusan mengecewakan apabila kecundang kepada PDRM FC dengan keputusan 1-2 dalam pertembungan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan Ahad lalu.
Selepas tujuh perlawanan liga, skuad Jang hanya mencatat satu kemenangan dengan keputusan 2-0 ketika berdepan Sri Pahang FC 13 Julai lalu.
BACA LAGI: Bukan gagal tapi belum berjaya, Hannah Yeoh minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia
BACA LAGI: Azzmi kecewa, kesalahan individu hukum skuad Jang
Sebahagian perlawanan antara Negeri Sembilan bertemu PDRM yang menyaksikan skuad Jang tewas 1-2 di gelanggang sendiri. — Facebook/NSFC
Meskipun mengharapkan beberapa perubahan dalam pasukan terutamanya bahagian tengah dan jentera serangan namun Azzmi mengakui pihak pengurusan turut bergelut dengan faktor kewangan.
“Terdapat kelemahan dalam pasukan terutama di bahagian tengah dan serangan dan kami sememangnya memerlukan penambahbaikan.
“Namun, ia terpulang kepada pihak pengurusan dan pastinya berkaitan dengan kewangan pasukan, tapi saya sedar kita tak mampu sekiranya mahu membawa masuk wajah baharu.
“Tetapi tanpa penambahbaikan, kami akan ketinggalan dan untuk mendapatkan keputusan yang positif amat sukar,” katanya.
Tambah Azzmi, kekurangan pemain berkualiti ditambah dengan kesilapan individu semasa permainan menjadi faktor prestasi buruk pasukan itu.
“Bila pemain tak fokus, pasukan lawan akan ambil kesempatan atas kesilapan diri sendiri, banyak lagi yang kena diperbaiki.
“Tetapi saya tidak mahu menyalahkan sesiapa, dan kena terima kekurangan yang ada dalam pasukan sekarang. Saya ambil tanggungjawab ini dan berharap kita akan lebih baik untuk perlawanan akan datang," jelasnya. — The Star/S.SAKTESH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram