[VIDEO] Tendang dan tolak pemain, peliknya keeper SUKMA tuan rumah tak kena kad merah


  • Podium
  • Khamis, 15 Ogos 2024

Tangkap layar insiden kekasaran yang dibuat oleh penjaga gol muda Sarawak pada edisi SUKMA kali ini.

KEJOHANAN Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang sedang berlangsung di bumi Sarawak menyaksikan pelbagai acara dipertandingkan dengan masing-masing kontinjen dari 14 negeri sudah menyasarkan sasaran pingat peribadi.

Antara acara yang pastinya akan mendapat tumpuan peminat sukan tanah air ialah bola sepak lelaki dengan kini menyaksikan Perak menjadi pasukan pertama mara ke pusingan suku akhir.

Selain perlawanan Perak menang 1-0 ke atas Pahang itu, aksi pasukan tuan rumah iaitu Sarawak bertemu Wilayah Persekutuan di Stadium Mukah dekat Mukah, Sarawak juga mencuri tumpuan dengan insiden kekasaran mewarnai permainan.

BACA LAGI: Satu demi satu tewas termasuk skuad muda JDT, apa yang tak kena kontinjen SUKMA Johor?

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kalau tak emas memang malu', Johan Ghazali warning adik buru pingat SUKMA 2024

Skuad kendalian Awangku Shahbuddin tidak berhasil mendapatkan tiga mata berharga selepas merekodkan keputusan 1-1 dengan Wilayah Persekutuan dalam aksi Kumpulan D pada Rabu itu.

Skuad kendalian Mohd Nidzam Adzka Yusoff terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Shairul Aikal Mohamad Nasir pada minit ke-28 sebelum pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan pada minit ke-59 hasil penyudah pemain gantian Mohamad Faris Mohd Faidillah.

Perlawanan bertambah hangat apabila penjaga gol Sarawak, Faridzuan Pekan bertindak luar kawalan apabila dikesan menendang dan menolak pemain Wilayah Persekutuan sebelum babak pertama berakhir.

Pada minit ke-45, penjaga gol berkenaan dilihat berlari untuk merampas bola dari pemain Wilayah Perseketuan namun tindakannya semakin melebih apabila secara tiba-tiba menendang 'ubi muda' tersebut.

Selepas menendang, Faridzuan dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan sebelum dikesan menolak satu lagi pemain lawan sehingga terjatuh. Faridzuan kemudiannya ditenangkan oleh rakan sepasukannya.

Menjengah di ruangan media sosial, ramai penyokong bola sepak tanah air menegus sikap baran Faridzuan dan penjaga gol itu sepatutnya bersyukur terselamat dari layangan kad merah di sebalik melakukan dua kekasaran dan provokasi.

Tidak kurang juga ada penyokong yang membuat andaian bahawa sikap baik pengadil yang tidak melayangkan kad merah itu disebabkan status Sarawak selaku tuan rumah temasya dwitahunan berkenaan tahun ini.

Selepas ini, Sarawak akan dijadualkan bertemu Pahang pada Jumaat bagi menentukan sama ada pasukan tuan rumah berhasil mara ke pusingan seterusnya atau perjalanan hanya terhenti setakat peringkat kumpulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram