TEMASYA Sukan Malaysia (SUKMA) yang berlangsung di Sarawak bermula Isnin lalu sudah menyajikan persembahan cukup baik daripada kesemua atlet dihantar setiap negeri.
Malah, berdasarkan carta kutipan pingat, pelbagai kejutan sudah disaksikan dengan Melaka berada di kedudukan teratas selepas meraih dua emas daripada sukan wushu.
Bagaimanapun, tumpuan masih diberikan kepada acara bola sepak, lebih-lebih apabila kontinjen Johor mengambil keputusan menghantar skuad muda Johor Darul Ta'zim (JDT).
BACA LAGI: [VIDEO] 'Kalau tak emas memang malu', Johan Ghazali warning adik buru pingat SUKMA 2024
BACA LAGI: SUKMA 2024: Atlet basikal bawa pulang pingat emas pertama buat Perak
Melihat kepada dua aksi setakat ini, wakil dari negeri Selatan tanah air berkenaan mengenakan jersi skuad Harimau Selatan selain menghantar pemain dari skuad simpanan mereka.
Perkara itu bagaimanapun tidak melanggar sebarang peraturan memandangkan pemain diletakkan tidak melebihi had usia SUKMA meskipun pendekatan sedemikian kurang dipersetujui penyokong.
Skuad futsal Johor mengalami kekalahan dalam aksi pembukaan kepada Selangor. — Instagram/Futsal Selangor SUKMA
Tetapi, kehadiran 'ubi muda' itu tidak membawa hasil diharapkan selepas mereka tewas 1-2 dalam aksi kedua kumpulan kepada Sabah pada Rabu di Stadium Zaidi Adruce, Sarawak.
Meskipun menang dalam aksi pertama menentang Terengganu, kekalahan itu sudah tentu sukar diterima memandangkan kualiti dimiliki mereka jauh meninggalkan pesaing lain.
Keputusan tersebut membawa kegusaran terhadap peminat sukan sekitar Johor yang khuatir kontinjen negeri berkenaan tidak akan dapat mengulangi prestasi dalam edisi sebelum ini.
Perasaan itu hadir memandangkan nasib sama turut dihadapi wakil dalam acara lain seperti futsal yang tewas kepada Selangor dan sepak takraw yang tunduk kepada Pahang dalam kategori berpasukan.
"Tahniah Sabah. Penyakit futsal Johor berjangkit kepada pasukan bola sepak. Apa sudah jadi? Takraw kalah, kriket kalah, apa hal Johor ni? Apa yang tak kena?" soal Azarri Nvc.
Kontinjen Johor berada di kedudukan kelapan dalam carta kutipan pingat setakat ini. — Facebook/TVS
"Kalah juga nampaknya Johor. Risau betul dengan prestasi SUKMA kali ini kerana harapnya dapatlah dapat kumpul lebih banyak emas. Tidak mengapa, harapnya dapat bangkit semula," kata Nizam Izahar.
Dalam saingan SUKMA sebelum ini, Johor berada di kedudukan teratas selepas meraih 172 pingat secara keseluruhan dengan 77 daripadanya merupakan pingat emas.
Setakat ini, negeri tersebut sudah meraih dua gangsa menerusi sukan wushu yang meletakkan mereka di kedudukan kelapan setakat empat hari temasya berlangsung.
Usaha pastinya perlu digandingkan memandangkan Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor menyasarkan 60 pingat emas dalam temasya kali ini dalam misi mempertahankan gelaran selaku juara keseluruhan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram