SEAKAN masih tidak dapat melupakan apa yang terjadi, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal merealisasikan harapan membawa pulang pingat emas sulung negara di Paris 2024.
Walaupun sudah lima hari berlalu, Azizulhasni memuat naik satu hantaran di Facebook pada Rabu meluahkan beliau masih terkesan dengan insiden memotong 'pacer' di heat pertama pusingan awal acara keirin yang menyebabkan dirinya tersingkir.
Anak jati kelahiran Terengganu itu terpaksa akur apabila disingkirkan selepas dikesan melakukan kesilapan kerana memotong derby (motosikal berkuasa elektrik bertindak sebagai pacer) pada saringan pertama acara keirin lelaki di Velodrom Saint Quentin, Sabtu lalu.
BACA LAGI: Saya akan jaga kebajikan Azizul — Hannah Yeoh
BACA LAGI: Azizul hilang kelayakan akibat kesalahan teknikal, Shah Firdaus kini harapan emas Malaysia
Malah, harapan beliau yang turut dikenali sebagai The Pocket Rocketman untuk merangkul pingat emas pertama negara pada penampilan kelima di pentas Olimpik sejak edisi Beijing 2008 turut terkubur di Veldrom Saint-Quentin-en-Yvelines.
"Kepada seluruh rakyat Malaysia saya memohon maaf di atas apa yang berlaku di Sukan Olimpik Paris dan kerana tidak dapat merealisasikan impian semua untuk membawa pulang pingat Emas pertama negara.
"Sepanjang proses persiapan dan perjalanan ke Paris, saya sentiasa memainkan gambaran yang positif, gambaran yang penamat di Paris akan menjadi sebuah cerita manis buat Malaysia dan khususnya buat karier saya. Namun saya juga terkelu seribu bahasa dengan pengakhiran seperti ini.
"Ketika melihat nama saya dikenakan ‘disqualification’, dunia seolah-olah terhenti. Tubuh badan panas bersedia untuk beraksi tiba-tiba menjadi sejuk kaku. Seluruh velodrome sunyi sepi walaupun hakikatnya penuh dengan sorakan dari penonton yang hadir," katanya.
Beliau juga meluahkan tidak dapat menggambarkan perasaan kecewanya pada ketika itu.
"Saya tidak dapat mencari perkataan untuk menggambarkan perasaan yang saya alami pada detik itu. Tidak pernah saya terfikir yang perkara seperti ini akan berlaku. Saya hadir ke Paris dengan penuh harapan dan membawa misi penting negara tercinta.
"Mungkin ada yang kata harapan terlalu tinggi terlalu besar membuat saya hilang kawalan. Tidak sama sekali, semuanya berada di dos yang sepatutnya.
"Saya teringat janji-janji kepada ibu, isteri dan anak-anak yang ini merupakan penampilan Sukan Olimpik terakhir ketika mana mereka semua meminta untuk saya bersara selepas pulih dari pembedahan jantung dahulu. Saya terfikir adakah ini semua berlaku kerana melanggar permintaan mereka dahulu.
"Dari awal karier sehingga sekarang mereka ini sumber kekuatan untuk saya meneruskan perjuangan sehingga mampu menjadi antara terbaik di puncak dunia," tulisnya lagi.
Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sebak apabila gagal menyumbang pingat buat Malaysia.
Namun di sebalik kekalahannya itu, beliau tetap bersyukur kerana tetap berpegang teguh pada ajaran agama.
"Islam mengajar kita untuk berdamai dengan takdir. Semua yang berlaku didunia ini sudah ditentukan oleh ALLAH Azzawajalla sebelum kita diciptakan lagi dan ALLAH adalah sebaik-baik perancang.
"Syukur kerana saya berpegang teguh dengan tali ALLAH, jika tak saya tidak tahu bagaimana untuk menghadam dan memproses segala yang berlaku," katanya.
Untuk rekod, sepanjang lima penampilan di temasya Olimpik, Azizulhasni atau mesra dengan sapaan Jijoe itu telah menyumbang satu pingat perak dan pingat gangsa buat kontinjen negara dalam acara keirin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram