[VIDEO] Polis Ipoh cedera dilibas lelaki kurang siuman, ada rekod dadah


  • 112
  • Rabu, 14 Ogos 2024

Seorang anggota polis cedera selepas bergelut dengan lelaki yang mengamuk menggunakan senjata tajam di Dataran Stesen KTMB di Jalan Dato Panglima Bukit Gantang Wahab dekat Ipoh pada Selasa.

SEORANG anggota polis cedera selepas bergelut dengan lelaki yang mengamuk menggunakan senjata tajam di Dataran Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Jalan Dato Panglima Bukit Gantang Wahab dekat Ipoh, Perak pada Selasa.

Difahamkan, anggota berkenaan cedera di bahagian siku kiri terkena libasan pisau pemotong daging ketika cuba menahan suspek.

Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan orang awam bahawa suspek yang disyaki kurang siuman membawa sebilah pisau ke lokasi kejadian pukul 1.56 tengah hari.

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita parah 8 kali ditikam di Taman Sri Muda, perompak gagal kebas apa-apa

BACA LAGI: [VIDEO] Luahan sayu isteri minta pelumba jet ski, Abdullah Abdul Mubin pulang undang sebak

Katanya, selepas usaha pujuk memujuk dan berlaku pergelutan polis menahan suspek yang sedang mengamuk serta merampas pisau itu kira-kira pukul 2 petang

"Suspek pada waktu itu juga bertindak agresif dengan melibaskan pisau dibawanya beberapa kali ke arah polis ketika dihampiri dan diminta melepaskan senjata itu, selain berlaku pergelutan semasa tangkapan.

"Dalam insiden itu, seorang anggota polis cedera di siku kiri selepas proses tangkapan, manakala tiada orang awam cedera, begitu juga suspek.

"Suspek seorang warga tempatan berusia 31 tahun yang merupakan penganggur. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod kesalahan jenayah dan sembilan bagi dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa malam.

Tambah beliau lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Katanya, suspek dibawa ke Hospital Bahagia Hulu Kinta untuk rawatan selepas semakan mendapati dia memiliki rekod pesakit mental.

Pihak polis ingin menasihati orang ramai tidak mengambil tindakan melangkaui undang-undang dan tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram