Saya akan jaga kebajikan Azizul — Hannah Yeoh


  • Podium
  • Ahad, 11 Ogos 2024

Azizul terduduk hampa selepas penyertaannya dalam acara keirin dibatalkan.

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersedia untuk menjaga kebajikan pelumba basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang selepas penyertaannya dibatalkan pada acara keirin di Sukan Olimpik 2024.

Harapan untuk Azizul memburu pingat emas berkecai selepas penyertaannya dibatalkan pada pusingan awal akibat kesilapan teknikal dilakukannya.

Walaupun ada rayuan dilakukan oleh pihak Azizul, namun juri pertandingan tetap dengan keputusan untuk membatalkan penyertaan jaguh basikal trek negara di acara kegemarannya.

BACA LAGI: Jika ada seseorang yang sedang kecewa, dialah orangnya — Nicol David

BACA LAGI: Dihimpit teruk pelumba Perancis, Azizulhasni bagi 6 poin punca misi buru emas gagal

Menulis di laman media sosialnya, Hannah mengatakan yang keutamaannya sebagai menteri ketika ini adalah untuk menjaga kebajikan Azizul selepas detik pahitnya itu.

"Saya cuma ada satu keutamaan untuk Azizulhasni Awang iaitu kebajikannya selepas insiden. Sejak hari pertama, saya tak pernah risau mengenai keazaman seorang atlet untuk berjaya. Dia seorang yang bersemangat, bekerja keras dan profesional.

"Saya amat marah dengan keputusan untuk membatalkan penyertaan Azizul. Sila rujuk siaran (di media sosial Azizul). Adakah pasukannya melakukan rayuan, ya tetapi keputusan untuk membatalkan penyertaannya adalah muktamad," kata Hannah.

Sama seperti mesej yang dibawa oleh Timbalan Chief de Mission Malaysia ke Sukan Olimpik, Datuk Nicol David, Hannah turut menyeru seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan padu kepada Azizul.

Hannah mengatakan yang Azizul sekeluarga memerlukan segenap ruang yang ada dan tidak mahu pelbagai kata-kata nista ditujukan buat mereka.

"Banyak pengorbanan yang keluarga Azizul lakukan selama ini semasa ketiadaannya kerana jumlah masa latihan yang banyak dan pertandingan di luar negara. Berhati-hatilah bila berkata-kata.

"Azizul adalah Pocket Rocket kita semua, saya akan sentiasa menyokong keputusan anda untuk berlumba kerana anda adalah salah seorang atlet terbaik Malaysia pernah ada. Kebajikan anda adalah keutamaan saya sekarang, kami sayangkan anda," ujar Hannah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram