MAJLIS Sukan Negara (MSN) menegaskan pihaknya tidak menanggung sebarang kos perbelanjaan delegasi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sepanjang Sukan Olimpik Paris 2024.
Sebaliknya, MSN memaklumkan, mereka hanya menanggung kos atlet, jurulatih, pegawai MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan operasi Malaysia House di Paris untuk temasya kali ini.
“Kos pembiayaan bagi delegasi MOM adalah di bawah tanggungan MOM dan bagi tetamu mereka dibayar oleh pihak berkenaan dan tidak melibatkan dana kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
BACA LAGI: Norza tak guna duit kerajaan, 'kacau' kuota atlet bawa keluarga ke Sukan Olimpik — MOM
BACA LAGI: Bulu tangkis asyik meleret di jaring, Pearly Tan-M. Thinaah hanya kalah nasib
MSN hanya menanggung kos atlet, jurulatih, pegawai MSN, ISN dan operasi Malaysia House.
Kecoh di media sosial baru-baru ini apabila ada yang mempertikaikan tentang isu kad akreditasi selepas Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria dilihat membawa bersama keluarganya ke temasya berkenaan.
Ia menjadi pertikaian dalam kalangan peminat sukan negara terutamanya penyokong badminton selepas pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dinafikan membawa pakar fisio serta rakan sparring manakala jurulatih pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei tidak dapat bersamanya di Paris.
Sebelum ini tular satu gambar memaparkan Norza duduk bersama isteri dan anak lelakinya di Arena Porte de La Chapelle, ketika perlawanan penentuan pingat gangsa antara beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram