HAMAS menamakan pemimpin Gaza, Yahya Sinwar sebagai pengganti kepada bekas ketua politik Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Tehran pada minggu lalu, kata kumpulan itu pada Selasa.
Sinwar, arkitek serangan paling dahsyat ke atas Israel dalam beberapa dekad telah bersembunyi di Gaza, menentang percubaan Israel untuk membunuhnya sejak permulaan perang.
“Hamas mengumumkan pemilihan Komander Yahya Sinwar sebagai ketua biro politik pergerakan itu, menggantikan Komander Ismail Haniyeh yang syahid, semoga ALLAH merahmati beliau,” kata pergerakan itu dalam satu kenyataan ringkas.
BACA LAGI: [VIDEO] Pejuang Hizbullah balas dendam, lancar puluhan serangan roket ke utara Israel
BACA LAGI: Israel serang Beirut, ketua komander Hezbollah antara terkorban
Berita mengenai pelantikan itu diumumkan ketika Israel bersiap sedia untuk kemungkinan serangan dari Iran berikutan pembunuhan Haniyeh di Tehran.
"Pelantikan itu bermakna Israel perlu menghadapi Sinwar dalam penyelesaian perang Gaza," kata seorang diplomat serantau yang biasa dengan rundingan melibatkan Mesir dan Qatar, dengan tujuan menghentikan pertempuran di Gaza dan mengembalikan 115 orang Israel serta tebusan warga asing yang masih ditahan di enklaf (wilayah).
"Ia adalah mesej ketabahan dan ia tidak berkompromi," jelasnya.
Israel perlu menghadapi Sinwar dalam penyelesaian perang Gaza. — Agensi
Sinwar, yang menghabiskan separuh hayat dewasanya di penjara Israel merupakan pemimpin Hamas paling berkuasa yang masih hidup selepas pembunuhan Haniyeh, yang telah menyebabkan wilayah itu berada di ambang konflik serantau yang lebih luas selepas Iran berikrar membalas dendam.
Israel tidak mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu tetapi mengakui membunuh pemimpin kanan lain termasuk timbalan ketua Hamas, Saleh al-Arouri yang terbunuh di Beirut dan Mohammed Deif, komander tentera pergerakan itu.
Dilahirkan di kem pelarian di bandar selatan Gaza di Khan Younis, Sinwar, 61, dipilih sebagai ketua Hamas di Gaza pada 2017.
Ketua jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari, menyalahkan Sinwar atas serangan pada 7 Oktober dan berkata Israel akan terus memburunya.
"Hanya ada satu tempat untuk Yahya Sinwar dan ia adalah di sebelah Mohammed Deif dan 'pengganas' 7 Oktober yang lain," katanya kepada televisyen Al-Arabiya.
Sebagai tanda pergerakan itu bersatu, Khaled Meshaal, bekas pemimpin yang dilihat sebagai bakal pengganti Haniyeh dikatakan oleh sumber kanan dalam gerakan itu menyokong Sinwar.
Bagi Israel, pelantikan itu mengesahkan Hamas sebagai musuh yang berdedikasi untuk memusnahkan rejim itu dan berkemungkinan mengukuhkan desakan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bahawa Israel mesti meneruskan kempennya di Gaza hingga akhir.
Rumah Putih enggan mengulas mengenai pelantikan Sinwar.
Sepuluh bulan sejak serangan mengejut Hamas pada awal pagi 7 Oktober, perang mengubah Asia Barat dan pergolakan menjadi konflik serantau yang lebih luas. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram