'Anak nogori rupanya!' gaya berbahasa Abang Gan mudahkan audiens fahami dunia automotif


  • Bizz
  • Rabu, 07 Ogos 2024

Abang Gan mengambil inisiatif untuk menghasilkan kandungan dalam bentuk yang lebih mudah difahami.

SEBUT sahaja PanduLaju, pasti anda sudah membayangkan celoteh Abang Gan di hadapan kamera!

Sering berkongsi informasi mengenai dunia automotif, Pandulaju merupakan laman automotif yang ditubuhkan Abang Gan dan rakan kongsinya.

Portal yang berada di bawah GYL Media Services Sdn Bhd itu sinonim dengan video berunsurkan automotif.

BACA LAGI: Dari mekanik jadi tauke kopi terkemuka, Muhamad Zamry mahu Richiamo Coffee tembusi pasaran antarabangsa

BACA LAGI: [VIDEO] Rama-rama jadi identiti, anak seni kelahiran Perak realisasi impian masa kecil buka bisnes di Bukit Bintang

Menyoroti awal kemunculan Abang Gan, pemilik nama sebenar, Gan Yong Li bercerita, dia mula berkecimpung dalam bidang automotif pada tahun 2011 ketika bekerja di sebuah majalah di automotif.

Bagaimanapun katanya, selepas dua tahun syarikat itu terpaksa ditutup hingga pada akhirnya dia memutuskan untuk menubuhkan portal PanduLaju.com.my bersama seorang rakan kongsi.

"Memandangkan saya bukan daripada latar belakang automotif, jadi pada tahun 2011 kami agak sukar untuk berhubung dengan pihak pengeluar peralatan tulen (OEM) kenderaan di Malaysia.

"Jadi memandangkan majalah tersebut tutup, saya bersama seorang rakan kongsi memutuskan untuk menubuhkan portal PanduLaju.com.my.

"Di situlah tercetusnya PanduLaju dan kami bermula dengan laman web sahaja pada tahun 2014 sehinggalah pada 2018, kami mula menghasilkan kandungan melalui video dan muat naik di YouTube," katanya kepada Majoriti.

Lebih menarik ujar Abang Gan, rakan kongsi itu merupakan bosnya sewaktu dia menjalani latihan amali di Universiti Utara Malaysia (UUM) cawangan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun sebaik habis latihan amali, mereka ditakdirkan untuk bekerja di syarikat yang sama, iaitu di sebuah majalah yang terletak di Subang, Selangor.

"Selepas dua tahun syarikat tersebut terpaksa ditutup hingga pada akhirnya saya mengajak rakan tersebut untuk menubuhkan portal PanduLaju.com.my bersama-sama," jelasnya.

Berkongsi tentang kandungan di portalnya, anak kelahiran Negeri Sembilan itu memberitahu, mereka pada awalnya hanya menyiarkan penulisan sahaja mengenai automotif menerusi laman web PanduLaju.com.my sahaja, selain Facebook dan Instagram juga.

Menurutnya, dia mula mengetengahkan konsep video dalam kontennya pada tahun 2018.

"Sejak itu kami juga sudah mula bijak mengatur jenis kandungan yang sesuai untuk dihasilkan, apatah lagi kita juga sudah mengenal pasti audiens yang sering mengikuti kami.

"Namun disebabkan kami berdua sahaja ketika itu, terpaksalah bekerja siang dan malam," ulasnya sambil menambah bahawa kebanyakan pengikut portal PanduLaju meliputi pembaca dan penonton Melayu.

Ditanya tentang pendekatan yang digunakan, lulusan Ijazah Sarjana Muda Media dari UUM itu tidak menafikan, bidang automotif sememangnya agak berat untuk diajari.

Justeru, Abang Gan mengambil inisiatif untuk menghasilkan kandungan dalam bentuk yang lebih mudah difahami untuk memberi penerangan secara lebih jelas kepada orang ramai.

"Info berkenaan automotif di internet kebanyakannya lebih kepada bahasa Inggeris, sebab itu kami lebih menekankan penggunaan bahasa Melayu dalam penyampaian.

"Ini termasuk kami juga akan menterjemahkan info dari luar negara ke dalam bahasa ibunda," kata bapa kepada seorang cahaya mata itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram