MEMILIKI 100 rangkaian klinik kecantikan estetik dalam tempoh sedekad bukanlah perkara mudah, apatah lagi membangunkan industri yang lazimnya dimonopoli golongan wanita. Itu belum lagi mental dan fizikal diuji dengan ombak ekonomi yang ada pasang dan surutnya.
Bagaimanapun, onak dan duri itu sedikitpun tidak mematahkan semangat Dr Hannan Mohamad Yusof untuk terus mengembangkan, sekali gus mempertahankan Hannan Medispa Sdn Bhd (Hannan Medispa) yang diasaskannya sejak tahun 2012.
Usahawan berusia 40 tahun itu sentiasa berpegang teguh pada prinsip perniagaan agar tidak bersikap tamak dan ‘gila kuasa’.
BACA LAGI: Sanggup lupakan hobi kumpul setem, simpan emas jauh lebih lumayan
Berkelulusan Ijazah Sarjana Perubatan daripada Russia State Medical University Moscow, beliau mengakui bahawa kepakaran dimilikinya lebih cenderung pada bidang perubatan dan estetik.
Berikutan itu, bahagian-bahagian lain dalam syarikat Hannan Medispa diserahkan kepada kakitangan yang berkaliber dan berwibawa berbanding melaksanakannya sendirian.
“It’s all about teamwork! Saya percayakan staf. Jika dari segi sasaran jualan misalnya, tugas itu diserahkan kepada bahagian jualan dan pemasaran kerana mereka lebih arif tentang prospek dan strategi. Bergelar majikan bukan tiket untuk kita monopoli semua aspek.
“Namun begitu, saya tidak lepas tangan, sebaliknya terus memantau dari semasa ke semasa agar graf jualan mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Dr Hannan sentiasa menitikberatkan aspek perkhidmatan dan rawatan yang terbaik buat pelanggan.
Menyorot perjalanan Hannan Medispa, pada 12 tahun lalu Dr Hannan hanya membuka klinik perubatan persendirian di Kota Bharu, Kelantan sebelum menaik taraf menjadi pusat kecantikan.
“Fasa awal saya menyewa kedai dua tingkat, tetapi selepas melihat pesakit semakin bertambah terutamanya ruang atas dari situ tercetus idea membuka medispa.
“Kami (Hannan Medispa) menawarkan rawatan holistik terhadap penjagaan kulit wajah menggunakan mesin teknologi terkini. Ini termasuklah mengetengahkan produk penjagaan kulit dihasilkan di kilang saya sendiri.
“Bukan itu sahaja, pelanggan juga diberikan pendedahan tentang gabungan penggunaan produk dan teknologi yang membantu memberikan kesan rawatan optimum,” ujarnya yang pernah memperoleh keuntungan RM1 juta pada usia 29 tahun.
Resepi kejayaan
Tutur Dr Hannan, untuk kekal relevan dalam perniagaan diceburi beliau sentiasa menitikberatkan aspek perkhidmatan dan rawatan yang terbaik buat pelanggan.
“Saya selalu berpesan kepada staf bahawa tugas mereka bukan sekadar menawarkan rawatan kecantikan semata-mata, malah perlu komited memberikan servis efisien dan kondusif buat pelangggan.
“Disebabkan itu, warga Hannan Medispa menjalani pelbagai kursus termasuk pemantapan diri, penampilan dan teknik perkhidmatan pelanggan,” jelasnya yang proaktif memberikan variasi kelainan buat pelanggan.
Terus berkongsi resipi kejayaan Dr Hannan menjelaskan, beliau enggan menjadi usahawan yang cetek ilmu berniaga dan sakan menayang kehidupan mewah menerusi media sosial.
“Dalam 10 individu, sembilan akan gagal dalam perniagaan. Saya tidak sentuh tentang orang lain, tapi bercakap tentang diri sendiri.
“Kita tengok orang lain seronok berniaga, hidup mewah, berjalan sana sini dan membeli-belah tanpa batasan sehingga terpengaruh dengan ‘keindahan’ itu.
“Sedarlah, jika tersilap langkah kita berpotensi menanggung lambakan hutang. Impaknya hidup menjadi tidak tentu arah,” tegas beliau.
Pernah gagal
Siapa sangka pelopor medispa tersebut rupa-rupanya pernah gagal dalam bisnes. Tanpa segan-silu, Dr Hannan meluahkan bahawa kejatuhan perniagaan kedai makan yang diusahakan sebelum ini mendidik dirinya menjadi individu lebih berwaspada dalam membuat keputusan.
Kegagalan operasi kedai makan mengakibatkan beliau berhutang dengan pihak bank hampir RM200,000 sehingga gaji bulanannya habis begitu sahaja untuk melunaskan hutang.
Lebih 100 rangkaian Hanna Medispa yang dibuka sehingga kini.
“Saya sendiri gagal dalam pelbagai perniagaan. Daripada 10 yang saya usahakan satu saja berjaya iaitu Hannan Medispa. Sebab apa bertahan?
“Hanna Medispa adalah kekuatan saya tetapi tidak bagi perniagaan lain. Ikutkan pengalaman berjaya dalam perniagaan aspek pemasaran hanya 10 peratus.
“Banyak faktor mendorong untung dan rugi bisnes. Secara peribadi, saya tidak pernah ikuti mana-mana kelas pemasaran perniagaan,” jelasnya.
Keluarga susah
Dibesarkan dalam keluarga serba kekurangan yang mana bapanya orang kelainan upaya (OKU) dan bekerja sebagai pembantu hospital manakala ibunya pula guru menyebabkan banyak perkara terpaksa dicatu demi kelangsungan hidup.
Pengalaman itu secara tidak langsung menjadi pemangkin untuk beliau berkongsi rezeki kepada keluarga, pekerja dan komuniti.
“Matlamat saya ingin membuka lebih banyak cawangan Hannan Medispa dengan harapan memperbanyakkan peluang pekerjaan kepada generasi muda.
“Saya ingin mendidik belia menguasai sektor penjagaan kecantikan di negara ini. Mana tahu, satu hari nanti mereka boleh mengambil alih tempat saya,” titipnya.
Sehubungan itu, kini Dr Hannan dalam peringkat perbincangan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT) untuk menyediakan silibus yang berkaitan.
Pada masa sama, turut bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam usaha memberi pendedahan pekerjaan kepada penghuni rumah perlindungan di Puchong, Selangor.
“Anak-anak muda perlu diberikan pendedahan awal mengenai kerjaya dalam sektor penjagaan diri kerana bidang ini semakin mendapat permintaan tinggi dan mampu memberikan pendapatan lumayan,” ujar anak ketiga daripada lima beradik itu sebelum menutup bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram