PEMENANG Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus dipilih sebagai ketua penasihat kerajaan sementara Bangladesh, sehari selepas Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletak jawatan dan melarikan diri dari negara itu susulan pemberontakan yang dipimpin kumpulan pelajar.
Beliau dilantik oleh Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabuddin selepas mengadakan pertemuan dengan ketua kumpulan pelajar dan pemimpin tentera.
Yunus, 84, bersama Grameen Bank, sebuah organisasi kredit mikro miliknya, memenangi Hadiah Nobel Keamanan 2006 atas usaha mengeluarkan berjuta-juta rakyat daripada kemiskinan dengan memberikan pinjaman kecil kepada golongan miskin luar bandar Bangladesh.
BACA LAGI: Tak mampu tanggung kos sendiri, kakak rayu kerajaan bawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh
Pemimpin pelajar berkata, mereka mahukan Yunus sebagai ketua penasihat kerajaan sementara dan jurucakap Yunus juga memaklumkan beliau telah bersetuju.
Ahli ekonomi itu dikhabarkan berada di Paris untuk prosedur perubatan dan dijangka pulang ke Dhaka tidak lama lagi.
Tiada komen segera daripada beliau sebagai maklum balas kepada pelantikan tersebut.
Tempoh sebenar kerajaan sementara akan mengambil alih kuasa juga masih belum diketahui secara lebih terperinci.
Penunjuk perasaan dalam kalangan pelajar mengancam akan melakukan lebih banyak demonstrasi jika Parlimen tidak dibubarkan. — Agensi
Pada Selasa lalu, Shahabuddin membubarkan Parlimen bagi membuka jalan untuk kerajaan sementara dan pilihan raya baharu.
Pejabatnya juga mengumumkan bahawa ketua pembangkang Parti Nasionalis Bangladesh, Begum Khaleda Zia, yang juga bekas perdana menteri yang bertelagah dengan Hasina selama beberapa dekad, dibebaskan daripada tahanan rumah.
Penunjuk perasaan pelajar mengancam akan melakukan lebih banyak demonstrasi jika Parlimen tidak dibubarkan.
Shahabuddin sebelum ini berkata, kerajaan sementara akan mengadakan pilihan raya sejurus mengambil alih pentadbiran.
Penganjur utama kempen menentang Hasina, Nahid Islam menerusi satu video berkata, pihaknya tidak akan menerima mana-mana kerajaan selain daripada yang mereka cadangkan.
Gerakan yang menjatuhkan Hasina bermula daripada demonstrasi menentang kuota pekerjaan sektor awam untuk keluarga veteran perang kemerdekaan Bangladesh pada tahun 1971, yang dilihat oleh pengkritik sebagai cara untuk memelihara pekerjaan untuk sekutu parti pemerintah.
Kira-kira 300 orang terbunuh dengan beribu-ribu lagi cedera dalam keganasan yang melanda seluruh negara sejak Julai.
Pada Isnin, perusuh di Bangladesh telah membentuk satu protes yang besar dan menceroboh masuk kediaman rasmi Hasina selepas dia melepaskan jawatan.
Ribuan rakyat Bangladesh mengambil peluang dan kesempatan itu untuk mengambil barangan peribadi bekas perdana menteri berkenaan, dengan video memaparkan suasana tersebut turut dikongsikan di media sosial pada hari kejadian.
Selepas penunjuk perasaan menyerbu kediaman mewah perdana menteri, jalan-jalan di ibu kota Dhaka kembali aman pada keesokan harinya.
Kilang-kilang yang membekalkan pakaian kepada beberapa jenama terkemuka dunia dan merupakan tunjang utama ekonomi dibuka semula pada Rabu selepas ditutup akibat gangguan, kata persatuan pengeluar pakaian utama. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram