[VIDEO] Kredibiliti penjaga garisan aksi Perak-KDN jadi bahan media 'troll' antarabangsa


  • Podium
  • Isnin, 29 Jul 2024

Pertembungan cukup menarik disaksikan dalam aksi antara KDN FC dan Perak FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan pada Jumaat.  — Facebook/KDN FC

KREDIBILITI pengadil menjadi bahan mulut peminat bola sepak kebelakangan ini, terutamanya selepas aksi Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC berikutan beberapa kontroversi yang timbul.

Isu berkenaan sudah tentu menconteng arang terhadap Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sekali lagi gagal memastikan mutu sukan itu di tahap terbaik.

Namun, reputasi dua badan induk bola sepak negara tersebut sekali lagi terjejas selepas satu klip daripada aksi liga kini menjadi bualan di peringkat antarabangsa.

BACA LAGI: KDN FC pertaruh Valdumar segera akhiri kebuntuan jaringan

BACA LAGI: TBG, TFC dan KDN antara kelab ideal pikat Allee Putra

Dalam satu hantaran di akaun X Troll Football Media, kelihatan video pendek daripada pertembungan antara Kelantan Darul Naim (KDN) FC dan Perak FC menjadi perhatian ramai.

Klip itu memaparkan pelanggaran antara pemain skuad Kijang Emas, Fazrul Amir Zaman dengan penjaga garisan ketika 'ubi muda' tersebut cuba mengekalkan bola dalam kawasan permainan.

Tetapi, pertembungan berkenaan menyaksikan bola tidak dapat dikejar bekas tonggak Kelantan FC itu yang kemudiannya sedikit hampa atas posisi penjaga garisan.

Lebih mengejutkan lagi, pegawai perlawanan itu kemudiannya memberikan lontaran ke dalam buat skuad The Bos Gaurus (TBG) dengan keputusan itu menimbulkan pelbagai persoalan.

452955997_1018296586962184_541291359057170367_n

Skuad Kijang Emas mengalami satu lagi kekalahan Liga Super. Facebook/KDN FC

Perkara itu sekali gus membuatkan ramai pengguna mempertikaikan kredibiliti pengadil dan pegawai garisan yang sepatutnya memberikan kelebihan buat skuad Kijang Emas.

Dalam perlawanan tersebut, KDN FC mengalami kekalahan 1-3 dengan gol pasukan pelawat dihasilkan menerusi dua jaringan Luciano Guaycochea dan gol sulung daripada Firdaus Saiyadi.

Gol tuan rumah pula dijaringkan Syahir Abdul Rashid sebelum perlawanan tamat dengan Perak FC kehilangan seorang pemain selepas Guaycochea dibuang padang.

Kemenangan itu meletakkan Perak FC di kedudukan kelapan dengan enam mata dikutip setakat ini sementara KDN FC berada di tangga ke-12 selepas mengalami lima kekalahan dalam enam perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram