TINDAKAN pengadil, Fitri Maskon yang memberikan beberapa keputusan meragukan dalam aksi Liga Super antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jumaat terus menimbulkan persoalan.
Keputusan memberikan sepakan penalti pada minit ke-32 kepada tuan rumah sudah cukup bagi penyokong skuad Sang Penyu menimbulkan persoalan terhadap kredibiliti pegawai perlawanan itu.
Ini selepas ramai beranggapan kekasaran dilakukan bek Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili ke atas Bergson da Silva tidak wajar dipersalahkan.
BACA LAGI: Lepas hilang Safawi-Akhyar, Terengganu mungkin terpaksa lupakan khidmat bek muda
BACA LAGI: SSMZA bergegar antara 5 luahan fans Penyu saksikan kejayaan Terengganu ke atas Selangor
Tidak cukup dengan itu, Fitri yang kemudiannya membuat semakan terhadap video bantuan pengadil (VAR) mendapati pemain pasukan pelawat tersebut wajar dibuang padang.
Keputusan terbabit diambil dengan alasan Bergson memiliki peluang cerah untuk menjaringkan gol dengan kekasaran dibuat Ubaidullah menghalang gol tersebut dihasilkan.
Kedua-dua keputusan Fitri itu terus menimbulkan rasa kurang senang sehingga menyaksikan penyokong Terengganu FC meminta agar siasatan dilancarkan terhadap pengadil berkenaan.
Malah, ada juga yang mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tampil memberi penjelasan mengenai mutu pengadilan negara.
Permintaan itu dibuat seiring dengan harapan bahawa pengadil kelahiran Johor itu dapat digantung seperti mana pernah dihadapinya sebelum ini.
Ubaidullah (tengah) dibuang padang selepas melakukan kekasaran ke atas Bergson. — Facebook/Terengganu FC
Bagaimanapun, bagi pemerhati bola sepak tempatan, Prof Zulakbal Abd Karim, penjelasan sedemikian tidak dapat memastikan amarah penyokong terhadap dua badan induk itu dapat dipadam segera.
"Persoalannya, boleh ke puaskan hati semua orang? Tentu tidak. Namun, FAM dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadilan, Datuk S Sivasundaram boleh beri penerangan.
"Ini untuk menjelaskan mengapa dan apa faktor keputusan itu diambil untuk mendidik para peminat yang tidak berpuas hati," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai persoalan dibuat penyokong mengenai pendirian Fitri, Zulakbal beranggapan pandangan pengadil tidak boleh dipertikaikan.
"Semua kena sedar itu semua pandangan dan pendapat masing masing, begitu juga pengadil kerana dia pun ada pandangan dan pendapat sendiri.
Zulakbal melihat terdapat pandangan diberikan berhubung insiden tersebut.
"Jadi dalam insiden ini, pendapat pengadil yang diterima pakai dan ia adalah muktamad," katanya lagi.
Dalam perlawanan itu, JDT meraih kemenangan 4-0 dengan Bergson melakar hatrik sementara Heberty turut meletakkan namanya dalam senarai penjaring.
Salah satu daripada gol Bergson itu disumbang menerusi sepakan penalti berikutan kontroversi yang timbul pada babak pertama melibatkan Ubaidullah dan Fitri.
Tiga mata yang dikutip di laman sendiri itu menyaksikan skuad Harimau Selatan kekal di kedudukan teratas Liga Super dengan lapan mata membezakan mereka berbanding pasukan di tangga kedua, Sabah FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram