SEPERTINYA sudah menjadi kebiasaan dalam saingan bola sepak Malaysia, topik kritikan terhadap pengadil sentiasa menjadi isu hangat yang diperkatakan.
Umum mengetahui, dalam arena bola sepak, pengadil memainkan peranan penting untuk memastikan perlawanan berjalan lancar dan adil.
Namun, terdapat beberapa insiden dalam Liga Malaysia (Liga M) yang mana kredibiliti pengadil dipersoalkan sekali gus mencetuskan perdebatan hangat di kalangan penyokong dan pemerhati bola sepak.
BACA LAGI: [VIDEO] Trik ibarat Cantona buatkan fans Perak teruja lihat import Brazil
Insiden yang menyaksikan JDT diberikan penalti dan Ubaidullah (kiri) dibuang padang. — Facebook/FAM
Baru-baru ini, nama Fitri Maskon mendapat kecaman teruk kerana kualiti kerjanya ketika mengadili aksi Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC pada Jumaat.
Fitri yang melayangkan kad merah kepada bintang muda Terengganu iaitu Ubaidullah Shamsul Fazili pada minit ke-31 atas kekasaran dilakukan kepada Bergson da Silva dianggap tidak wajar.
Layangan kad merah berkenaan sama sekali tidak dapat diterima penyokong Terengganu FC khususnya memandangkan kehilangan pemain itu menyaksikan pasukan tersebut gagal mengelak kekalahan 0-4 di tempat lawan.
Susulan insiden tersebut, Majoriti menyenaraikan tiga lagi perlawanan yang pernah menimbulkan kontroversi.
Zulkarnain digantung daripada mengadili semua perlawanan Liga Malaysia 2023. — Facebook/Penang FC
1) Zulkarnain Zakaria
Pada tahun 2022, perlawanan antara Harimau Selatan dan Selangor dalam saingan Liga Super menyaksikan pengadil Zulkarnain Zakaria berada di bawah sorotan negatif.
Keputusan-keputusan yang dibuat olehnya dianggap berat sebelah oleh ramai pihak.
Penyokong dan penganalisis bola sepak mendakwa bahawa beberapa keputusan penting yang diambil oleh Zulkarnain telah memihak kepada satu pasukan.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keadilannya dalam mengendalikan perlawanan.
Kontroversi tercetus ketika Zulkarnain memberikan sepakan penalti kepada JDT dalam aksi Liga Super berdepan Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Jayaraman ketika dikeliling pemain Perak ketika final Piala Malaysia 2018. — Agensi
2) Suresh Jayaraman
Insiden kontroversi lain berlaku semasa perlawanan Piala Malaysia 2018 antara Terengganu dan Perak FC yang dikendalikan oleh pengadil, Suresh Jayaraman.
Beberapa keputusan yang diambil oleh Suresh dalam perlawanan tersebut mendapat kritikan hebat daripada kedua-dua pasukan.
Penyokong mendakwa bahawa keputusan-keputusan tersebut tidak adil dan mempengaruhi hasil perlawanan mencetuskan rasa tidak puas hati yang meluas.
Antara kontroversi yang telah dicipta oleh pengadil ini adalah apabila membatalkan jaringan penyamaan pemain Perak, Leandro pada minit ke-31 dan juga layangan dua kad merah.
Pemain yang telah ‘dihadiahkan’ kad merah oleh Jayaraman adalah pemain Perak, Gilmar dan pemain Terengganu FC, Lee Tuck.
Logeswaran memberikan beberapa keputusan meragukan sepanjang perlawanan tersebut. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
3) R Logeswaran
Final Piala Malaysia 2023 antara JDT dan TFC menyaksikan pengadil R Logeswaran turut terlibat dalam kontroversi.
Keputusan-keputusan kritikal yang diambil oleh Logiswaran semasa perlawanan tersebut mendapat reaksi negatif daripada pemain, jurulatih, dan penyokong.
Ramai yang meragui keupayaan dan integritinya sebagai pengadil dengan beberapa pihak mendakwa bahawa keputusan-keputusan tersebut mempengaruhi hasil perlawanan.
Logeswaran yang dipilih mencipta pelbagai kontroversi adalah ketika dia menghadiahkan sepaka penalti buat JDT dan tidak memberikan kad merah kepada Jordi Amat walaupun mengasari Ivan Mamut.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, JDT meraih kemenangan 3-1 menerusi jaringan Bergson, Feroz Baharuddin dan Arif Aiman Hanapi, manakal gol Sang Penyu dicetak oleh Ivan Mamut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram