Alvin Fortes akhirnya 'pecah telur', Selangor pesta gol di MBPJ


  • Podium
  • Sabtu, 27 Jul 2024

Meskipun Ronnie dilihat kurang memberi sumbangan di bahagian serangan, namun gerakan pemain lain membantu menghidupkan barisan hadapan. — Facebook/ Selangor FC

SELANGOR FC mengembalikan rentak kemenangan dalam aksi Liga Super 2024/25 apabila menang 4-1 menentang Penang FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Sabtu.

Kemenangan ini dapat melupakan episod duka tewas 0-1 dalam aksi derbi Lembah Klang kepada Kuala Lumpur City pada minggu lalu.

Dalam aksi pada Sabtu, jaringan seawal minit kedua oleh Mukhairi Ajmal hasil hantaran kemas Alvin Fortes berjaya meletakkan anak buah Nidzam Jamil berada di kedudukan selesa pada babak pertama.

Malah pasukan tuan rumah dilihat lebih menguasai permainan dengan membuat serangan bertali arus.

BACA LAGI: Piala FA: Kelibat Jalil Elias di latihan bukti masih bersama JDT, sedia ranap budak universiti

BACA LAGI: Prestasi bersama skuad kebangsaan antara sebab JDT mungkin kehilangan Jalil Elias

selangor2

Gergasi Merah mempunyai suntikan semangat untuk meraih kemenangan dalam kempen Liga Super. — Facebook/ Selangor FC

Meskipun Ronnie dilihat kurang memberi sumbangan di bahagian serangan, namun gerakan daripada pemain lain seperti Fortes dan Mukhairi membantu menghidupkan barisan hadapan.

Benteng pertahanan Penang FC gagal menyekat kemaraan jentera serangan The Red Giants yang tampil garang untuk menyumbat masuk jaringan bagi menyamakan kedudukan.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, pastinya Gergasi Merah mempunyai suntikan semangat untuk meraih kemenangan dalam kempen Liga Super.

Sumbangan daripada Mukhairi sekurang-kurangnya membawa bekalan selesa ke bilik persalinan Gergasi Merah bagi mendapatkan motivasi lebih ke babak kedua perlawanan.

Bersambung babak kedua, Nabil Latpi mendapat peluang terbuka apabila kelekaan Khairulazhan Khalid keluar daripada kawasan gawang hampir mencari duri dalam daging buat Gergasi Merah pada minit ke-54.

Harimau Kumbang bagaimanapun mendapat sepakan penalti daripada pengadil perlawanan, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli susulan terjahan daripada Safuwan Baharudin terhadap Nabil di kawasan kotak penalti.

Peluang keemasan daripada pegawai perlawanan itu berhasil dimanfaatkan oleh Penang apabila ketua pasukan, Rafael Vitor menyempurnakan sepakan penalti, sekali gus menyamakan kedudukan pada minit ke-64.

selangor1

Perlawanan di Petaling Jaya berkesudahan memihak kepada tuan rumah dengan keputusan 4-1. — Facebook/ Selangor FC

Selang empat minit permainan, kesilapan pertahanan tengah Harimau Kumbang, Aqil Irfan pula memakan diri apabila aksinya yang menyentuh Ronnie memberi peluang Selangor mendahului perlawanan hasil sepakan penalti dari Yohandry Orozco.

Fortes akhirnya membuka akaun gol untuk saingan Liga Super apabila menyudahkan sepakan percuma sehingga menewaskan penjaga gol Harimau Kumbang, Sikh Izhan pada minit ke-89.

Pemain gantian Gergasi Merah, Quentin Cheng juga mencatatkan nama sebagai penjaring apabila bek kanan berusia 25 tahun berhasil mencetak gol pada masa tambahan.

Perlawanan di Petaling Jaya berkesudahan memihak kepada tuan rumah dengan keputusan 4-1. Selepas ini, Gergasi Merah akan berkunjung ke Stadium Temerloh, Temerloh, Pahang bagi aksi Liga Super menentang Skuad Gajah pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram