KEPUTUSAN pengadil dalam aksi antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC dalam pertembungan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jumaat terus menimbulkan persoalan.
Ini selepas petugas yang dipilih, Fitri Maskon melayangkan kad merah terhadap pertahanan pasukan pelawat, Ubaidullah Shamsul Fazili selepas pemain berkenaan didapati menolak Bergson da Silva.
Kekasaran itu pada awalnya menyaksikan skuad Harimau Selatan dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Bergson sebelum pengadil mengambil keputusan melakukan semakan menggunakan video bantuan pengadil (VAR).
BACA LAGI: Belum semusim dipasang, VAR dah buat Kedah, Perak, Sabah berputih mata
BACA LAGI: Drama VAR, gol minit akhir bikin aksi dramatik JDT-Kedah bersambung di SSI
Insiden yang menyaksikan JDT diberikan penalti dan Ubaidullah (kiri) dibuang padang. — Facebook/FAM
Layangan kad merah berkenaan sama sekali tidak dapat diterima penyokong Terengganu FC memandangkan kehilangan pemain itu menyaksikan pasukan tersebut gagal mengelak kekalahan 0-4 di tempat lawan.
Berang akan perkara terbabit, rata-rata pengikut setia skuad Sang Penyu meluahkan kekecewaan mereka di laman media sosial dengan mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggantung Fitri Maskon.
Desakan tersebut dibuat berserta artikel pada 2019 yang menyaksikan pengadil kelahiran Johor itu dikenakan penggantungan akibat mutu pengadilan meragukan.
Hukuman berkenaan dikenakan selepas Fitri membuat beberapa keputusan terburu-buru dalam aksi Liga Super antara Selangor FC dan Kuala Lumpur FA di Stadium Shah Alam, Selangor.
Dalam perlawanan berkenaan, satu sepakan penalti yang wajar dipersoalkan diberikan kepada pasukan pelawat untuk mengikat kedudukan, namun skuad Gergasi Merah berpuas hati apabila berjaya pulang dengan tiga mata penuh.
Tetapi, keputusan Fitri terbabit menerima perhatian daripada FAM yang bertindak menggantungnya bersama dua pengadil lain dengan alasan mahu menjaga imej dan integriti mereka.
Jadi, sekiranya siasatan dilancarkan FAM terhadap Fitri, terdapat kemungkinan pengadil berkenaan akan menerima nasib sama seperti yang pernah dihadapinya lima tahun lalu.
Selain Firti, beberapa pengadil Liga Malaysia pernah digantung akibat keputusan meragukan, seperti Zulkarnain Zakaria yang diberikan hukuman tersebut pada tahun lalu.
Tindakan sedemikian boleh dianggap sesuatu yang wajar diambil FAM dalam misi memastikan aksi bola sepak dalam negara terus telus tanpa sebarang kontroversi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram