[VIDEO] Penyokong The Rhinos lega, Sabah FC tidak ketandusan 'ubi muda'


  • Podium
  • Jumaat, 26 Jul 2024

Skuad Sabah FC meraikan kemenangan selepas menewaskan Negeri Sembilan dengan keputusan 2-0 di laman sendiri. — Facebook/MFL

SABAH FC kembali ke landasan kemenangan apabila menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0 dalam saingan Liga Super 2024 pada Khamis.

Selepas tewas dua pertemuan Piala FA dengan Terengganu FC, selain kekalahan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super, skuad Sang Badak itu bangkit dengan menjadikan pasukan di tangga tercorot, Negeri Sembilan sebagai mangsa mereka.

Memiliki kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri, skuad The Rhinos tampak lebih garang apabila dua gol berjaya diledak di Stadium Likas, Sabah.

BACA LAGI: Bukan bek Korea Selatan, JDT rupanya intai pertahanan Palestin hadapi ACLE

BACA LAGI: Lepas hilang Safawi-Akhyar, Terengganu mungkin terpaksa lupakan khidmat bek muda

WhatsApp Image 2024-07-26 at 11.20.42

Dua ubi muda Sabah FC (jersi merah) jadi tumpuan penyokong The Rhinos. — Facebook/Sabahfc

Pemain Harimau Malaya, Daniel Ting dan Jafri Firdaus Chew antara watak penting dalam membantu Sabah FC mengakhiri kemarau kemenangan.

Bagaimanapun, tumpuan penyokong The Rhinos tertumpu kepada gandingan mantap yang ditampilkan oleh 'ubi muda' Sabah FC iaitu Azhad Harraz dan Harith Naem Jaineh.

Meskipun jarang diturunkan apatah lagi memulakan permainan sebagai pemain utama, namun sentuhan berbisa yang ada pada kedua-dua pemain muda itu begitu berharga dan berbahaya.

Dalam pada itu, meninjau ruangan komen, rata-rata 'ekor' Sang Badak memuji persembahan yang disajikan oleh kedua-dua pemain tempatan itu.

"Mantap sudah permainan mereka berdua, boleh jadi bintang Sabah FC sudah ni, tidak perlu risau sudah, Sabah ada 'ubi muda' yang bagus," kata Ray Bah.

"Azhad dan Harith, dua-dua pemain muda, kalau diberi minit permainan untuk main, confirm ada peningkatan," kata Matleh Sinin.

"Azhad dan Harith betul-betul ubah rentak serangan Sabah, bagus gandingan mereka ni, control ball bagus, tidak gelabah dan cara main memang meyakinkan," kata Bond Bond.

"Boleh sudah ni anak-anak Sabah jadi harapan, sesuai untuk pelapis akan datang," kata Sharf Moss.

Sabah FC yang dikendalikan oleh Datuk Ong Kim Swee kini menduduki tangga kedua Liga Super dengan mengutip 10 mata, manakala NSFC kekal di kedudukan tercorot liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram