Legenda Johor pesan jangan leka jumpa TFC, ikut rapat 'update' Arif Aiman


  • Podium
  • Jumaat, 26 Jul 2024

Arif Aiman setakat ini hanya tampil dalam dua aksi Liga Super susulan kecederaan dialaminya pada awal musim. — Facebook/JDT

LEGENDA Johor, Khalid Shahdan merasakan perlawanan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super pada Jumaat bakal menyajikan pertembungan sensasi yang dinantikan oleh penyokong.

Hal ini kerana, beliau sendiri sudah lama menantikan perlawanan getir seperti ini selepas melihat reputasi dimiliki oleh kedua-dua pasukan bahkan Terengganu sekarang yang semakin menyerlah untuk cuba mengatasi tuan rumah pada malam ini.

Bagaimanapun, Khalid yang merupakan pemain pada era 80-an menyifatkan rekod yang dimiliki JDT masih sukar untuk diatasi namun tetap perlu berwaspada dan tidak boleh leka terutamanya apabila sentiasa dianggap sebagai kelab gergasi di pentas Liga Malaysia (Liga M).

BACA LAGI: Bukan bek Korea Selatan, JDT rupanya intai pertahanan Palestin hadapi ACLE

BACA LAGI: Lepas hilang Safawi-Akhyar, Terengganu mungkin terpaksa lupakan khidmat bek muda

JDT yang kini masih unggul di takhta liga selepas menang lima aksi Liga Super setakat ini sememangnya akan terus mendahagakan kemenangan dalam misi menewaskan anak buah Tomislav Steinbruckner yang juga masih belum tewas selepas empat perlawanan.

“Sudah pasti perlawanan yang dinanti-nantikan oleh para peminat sebab dua kelab ini yang masih cemerlang belum tewas di Liga Super.

“Saya sendiri pun teruja nak melihat apakah antara kejutan yang akan kita saksikan pada malam ini sebab bola ini bulat, jadi apa sahaja boleh berlaku.

“Dan memang setiap kelab kalau boleh nak cuba menang ke atas JDT dan melihat kepada rekod yang ada pada mereka, memang bukan senang.

“Namun, mereka tidak boleh leka dan saya tengok JDT ini sentiasa bekerja keras untuk terus memberi saingan yang hebat di pentas liga ini," katanya dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Jumaat.

khalid

Khalid beraksi untuk Johor pada era 80-an — Facebook/MFL

Bercakap mengenai prestasi setiap pemain Harimau Selatan, Khalid tidak menolak barisan tonggak pasukan berkenaan masing-masing dalam kelas tersendiri baik pemain import dan tempatan.

Namun, beliau sentiasa mengikuti rapat perkembangan pemain sensasi, Arif Aiman Hanapi yang dilabel sebagai pemain muda menakjubkan untuk era kini.

“Sudah tentu kalau nak bercakap pasal pemain JDT, kita tahu import mereka mempunyai kualiti yang cukup hebat.

“Tetapi saya lebih berminat untuk tengok pemain tempatan di mana saya tetap berbangga melihat anak muda seperti Arif Aiman yang semakin membanggakan setiap kali dia beraksi," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram