Hatrik pertama Bergson sapu rekod bersih TFC, fans JDT persoal layangan kad merah Ubaidullah


  • Podium
  • Jumaat, 26 Jul 2024

Pemain-pemain JDT meraikan jaringan hatrik Bergson.

TAK macam Selangor FC, Johor Darul Ta'zim (JDT) hanya memerlukan enam minit untuk merobek gawang gol Terengganu FC (TFC) dalam aksi minggu keenam Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada Jumaat.

Gerakan berbahaya Arif Aiman Hanapi menghasilkan jaringan buat Harimau Selatan selepas Heberty Fernandez memanfaatkan hantaran pemain muda itu menerusi rembatan kaki kiri dalam kotak penalti Sang Penyu.

JDT yang mendominasi keseluruhan perlawanan separuh masa pertama tidak membenarkan Terengganu melepasi kawasan pertahanan Harimau Selatan.

BACA LAGI: Muda-muda lagi aura pemimpin sudah ada, Arif Aiman tak keseorangan galas tanggungjawab kapten

BACA LAGI: Tak minat balik Hong Kong, KPG teliti 'proposal' Ulsan HD

Menambah derita buat anak-anak buah Tomislav Steinbruckner selepas pengadil perlawanan, Fitri Maskon melayangkan kad merah kepada pertahanan Terengganu, Muhammad Ubaidullah Shamsul pada minit ke-31 permainan.

Ia selepas Fitri mendakwa Ubaidullah melakukan kekasaran dalam kotak penalti dengan menolak Bergson da Silva (JDT) sehingga terjatuh.

Bukan sahaja dilayangkan kad merah, pengadil turut memberikan sepakan penalti untuk meletakkan JDT di hadapan hasil sepakan Bergson seminit selepas Ubaidullah dilayangkan kad merah.

Sebelum tamat separuh masa pertama, TFC cuba bangkit untuk mencari jaringan dengan beberapa serangan di kubu pertahanan JDT.

Keputusan separuh masa pertama berpihak kepada JDT dengan kelebihan dua gol tanpa balas.

Layangan kad merah oleh Fitri mengundang kemarahan penyokong TFC yang tidak bersetuju dengan tindakannya itu.

"Turut berduka dengan keputusan pengadil dan pengadil VAR, cukuplah sekadar kad kuning atau penalti sahaja, kacau permainan pengadil ini," kata Amir Hafiz.

"Tak apa, Kedah dah rasa, harap Terengganu bersabar ya," luah Fairis Haiziq.

"Bagi kad merah terus, kawan (Ubaidullah) itu tak sepak belakang pun, lawan pasukan juara 80 kali sentuh sikit dapat penalti," jelas Khairul John.

Bersambung babak kedua, skrip mulai berbeza selepas Terengganu bermula garang untuk mencari jaringan gol dengan beberapa asakan ke kem JDT.

Namun dengan kekurangan seorang pemain, usaha Sang Penyu dilihat sukar untuk mendatangkan sebarang hasil.

Terengganu terus menerima nasib malang selepas tandukan Bergson pada minit ke-64 berjaya membolosi gawang gol Sang Penyu untuk merekodkan jaringan ketiga.

JDT yang beraksi di halaman sendiri tidak membenarkan Terengganu menjaringkan gol sekali gus Syihan Hazmi dilihat lebih banyak berehat di gawang sendiri.

Sebelum pengadil meniupkan wisel penamat, Bergson berjaya melakar hatrik pertamanya musim ini apabila memanfaatkan peluang kesilapan penjaga gol TFC pada minit ke-91 permainan.

Keputusan kekal 4-0 sekali gus JDT berjaya mencalarkan rekod bersih Terengganu tanpa sebarang kekalahan dalam lima perlawanan Liga Super.

Dalam pada itu, penyokong JDT juga mempersoalkan layangan kad merah pengadil terhadap Ubaidullah yang disifatkan mengganggu rentak perlawanan.

"Yang tak betul itu pengadil, pemain tak salah, pengadil macam sengaja nak burukkan nama JDT," kata Ummi Shah.

"Kurang menarik perlawanan malam ini, Terengganu kena kad merah," jelas Sarul Ascoba.

"Game tengah seronok, kacau betul pengadil," luah Syahmi Sarif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram