PENGGUNAAN video bantuan pengadil (VAR) sememangnya membuka lambaran baharu dalam dunia bola sepak kerana teknologi itu semakin luas digunakan di peringkat global.
Jadi, tidak hairanlah apabila penyokong cukup bergembira dengan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang mengumumkan pemasangannya pada awal musim lalu.
Bagaimanapun, kritikan mengenai sistem tersebut sudah kedengaran sepanjang tempoh pramusim selepas beberapa aksi percubaan diadakan antara pasukan Liga Super.
BACA LAGI: Drama VAR, gol minit akhir bikin aksi dramatik JDT-Kedah bersambung di SSI
BACA LAGI: 'England tak patut dapat penalti itu, bola sepak musnah kerana VAR' — Ronald Koeman
Pelbagai liga seluruh dunia sudah menggunakan teknologi VAR.
Masalah teknikal yang menyaksikannya tidak dapat digunakan merupakan salah satu topik dibincangkan apabila penganjur gagal menyediakannya pada hari perlawanan.
Tetapi, selepas kira-kira tiga bulan saingan Liga Malaysia berlangsung, timbul kontroversi baharu membabitkan VAR setelah pelbagai keputusan meragukan diberikan.
Ini sekali gus membuatkan penyokong mempertikaikan kredibiliti pengadil dengan ada juga yang mendesak teknologi berkenaan ditarik semula secepat mungkin.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga perlawanan yang menyaksikan sistem VAR menjadi topik perbualan hangat berbanding aksi itu sendiri.
1. KDA FC vs JDT (Piala FA)
Dalam pertembungan separuh akhir Piala FA antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat, pelbagai perkara menarik untuk dikupas.
Gol minit akhir daripada Romel Morales dan kebangkitan cuba dipamerkan tuan rumah pasti menjadi perbualan ramai sehingga hari ini.
Namun, apa yang lebih kerap dibincangkan penyokong adalah apabila pengadil, Nazmi Nasaruddin enggan memberikan sepakan penalti terhadap skuad Sang Kenari pada penghujung permainan.
Shahrul Saad (kiri) dikatakan menggunakan tangannya untuk mengawal bola.
Ini selepas terdapat insiden melibatkan bek JDT, Shahrul Saad yang didapati mengawal bola menggunakan tangannya di dalam kotak penalti.
Sepakan terbabit kemudiannya tidak diberikan selepas Nazmi mendapati pemain simpanan KDA FC, Fayadh Zulkifli Amin menolak lawannya sehingga menjadikan tonggak Harimau Selatan tersebut hilang keseimbangan.
Keputusan itu akhirnya menyaksikan skuad bimbingan Nafuzi Zain tewas 1-2, sekali gus menjadikan misi mereka dalam Piala FA semakin sukar apabila perlu beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, Johor selepas ini.
2. Sabah vs JDT (Liga Super)
Prestasi Sabah FC musim ini boleh dikatakan sedikit terumbang-ambing dengan beberapa siri kemenangan direkodkan dalam Liga Super, namun tersingkir dengan memalukan daripada Piala FA.
Bagaimanapun, dalam aksi terakhir liga, mereka mengalami kekalahan kepada JDT walaupun terdapat usaha mereka untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.
Selepas ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama, skuad Sang Badak memaparkan kebangkitan dengan memperolehi jaringan menerusi sepakan penalti Gabriel Peres.
Arif (kiri) dikasari Rawilson pada minit-minit akhir permainan. — Facebook/Sabah FC
Serangan demi serangan kemudiannya dilancarkan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee meskipun beberapa bintang utama seperti Darren Lok dan Saddil Ramdani tidak dapat diturunkan.
Namun, pada masa kecederaan, nasib tidak menyebelahi Sabah FC selepas pengadil bertindak memberi sepakan penalti kepada pasukan pelawat berikutan semakan dibuat di layar VAR.
Kekasaran dilakukan Rawilson Batuil terhadap Arif Aiman Hanapi didapati merupakan satu kesalahan, sekali gus menyaksikan penalti diberikan yang membuatkan penyokong Sang Badak berang dengan keputusan itu.
Tetapi, sekiranya dilihat dengan betul, tindakan untuk memberikan sepakan adalah tepat memandangkan bentesan Rawilson tidak mengenai bola secara penuh.
3. Perak vs PDRM (Liga Super)
Skuad The Bos Gaurus (TBG) masih belum mendapatkan resipi terbaik musim ini selepas hanya mengumpul satu kemenangan dalam lima perlawanan.
Peluang mereka untuk meraih lebih banyak mata sememangnya luas, lebih-lebih lagi ketika pertemuan Liga Super dengan PDRM FC di laman sendiri pada 18 Mei.
Aksi berkenaan sememangnya cukup hangat, namun perbualan lebih banyak berkisar mengenai kredibiliti pengadil dan VAR sepanjang 90 minit permainan.
Skuad TBG tidak diberikan sepakan penalti pada perlawanan berkenaan. — Facebook/Perak FC
Kemuncak kepada perdebatan itu adalah ketika Perak FC hampir diberikan sepakan penalti pada penghujung permainan selepas berlakunya kekasaran.
Namun, sepakan tidak diberikan meskipun semakan beberapa minit sudah dibuat pengadil dengan penyokong skuad TBG hanya berputih mata.
Lebih mendukacitakan lagi, perlawanan itu berakhir dengan kekalahan 2-3 kepada tuan rumah selepas penyerang skuad Sang Saka Biru, Ifedayo Olusegun menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram