KELAB Pantai Timur, Terengganu FC berdepan kesukaran apabila bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri untuk bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super pada Jumaat.
Hal ini kerana, mereka tempang tanpa dua bintang pinjaman iaitu Safawi Rasid dan Akhyar Rashid kerana perjanjian mereka dengan JDT.
Selain itu, mereka turut tanpa Safwan Mazlan yang terpaksa disisihkan kerana kecederaan.
BACA LAGI: Lepas hilang Safawi-Akhyar, Terengganu mungkin terpaksa lupakan khidmat bek muda
BACA LAGI: SSMZA bergegar antara 5 luahan fans Penyu saksikan kejayaan Terengganu ke atas Selangor
Melihat kepada situasi ini, bekas pengurus Terengganu, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor berasakan Sang Penyu akan mengalami masalah dalam memburu gol.
Pada hematnya, ketiadaan dua bintang pinjaman itu akan menumpulkan lagi serangan Terengganu yang sudah sedia rapuh.
"Safawi dan Akhyar berkemungkinan tidak dapat diturunkan, dengan ketiadaan Safawi dan Akhyar memanglah serangan akan kurang berkesan. Tapi sebagaimana dimaklumkan mana-mana pasukan, lawan dengan JDT perlu bermain bukan dalam tekanan.
"Inilah kelebihan kepada pemain Terengganu untuk mendapatkan jaringan gol namun dengan ketiadaan dua pemain harapan itu akan memberi tekanan kepada Sang Penyu sendiri. Untuk Terengganu mendapat kemenangan akan sukar juga dengan ketiadaan dua pemain harapan," kata Che Ku Marzuki kepada Majoriti.
Akhyar (kiri) dan Safawi (kanan) tidak boleh bertemu JDT kerana kelab itu merupakan pasukan asal mereka. — Terengganu FC
Che Ku Marzuki berkata demikian kerana ketika berdepan Selangor FC dalam separuh akhir pertama Piala FA pada 19 Julai lalu, skuad Tomislav Steinbruckner terlalu bergantung kepada serangan balas pantas.
Ia kelihatan berbeza dengan Selangor yang lebih benar-benar menyerang walaupun di tempat lawan.
"Terengganu tidaklah bermain baik sangat, hanya separuh masa pertama Terengganu dapat gol awal, inilah kelebihan rentak permainan TFC yang mempunyai pergerakan menyerang dengan teratur dan beberapa peluang boleh diciptakan dalam masa separuh masa.
"Terengganu kurang membuat serangan namun hanya membuat counter attack itu pun tidak menjadi. Dalam aksi berdepan Selangor tempoh hari, pasukan itu lebih banyak membuat serangan dengan membuat build up yang baik," ujarnya.
Terengganu perlu berharap kepada kecemerlangan pemain import mereka untuk memberi saingan kepada JDT. — Terengganu FC
Melihat kepada situasi tersebut, Che Ku Marzuki keputusan seri adalah lebih baik buat Terengganu kerana kemenangan mungkin terlalu sukar untuk diraih.
"Terengganu kini hanya boleh mengharapkan pemain import yang sudah serasi dengan pemain lokal, sekurang-kurangnya mendapat keputusan seri, itu sudah cukup.
"Akan tetapi, pemain import JDT ada kelebihan tersendiri kerana mereka mempunyai jurulatih (Hector Bidoglio) yang baik, kemungkinan lawan dengan Terengganu, kita akan lihat bintang import JDT mencipta jaringan.
"Untuk Terengganu mendapat kemenangan akan sukar kerana ketiadaan dua pemain harapan," jelas Che Ku Marzuki. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram