Pembayaran gaji giat dilaksanakan, skuad Warga Kota harap City Boys & Girls datang penuhkan stadium


  • Podium
  • Jumaat, 26 Jul 2024

Ahli Lembaga Pengarah Kuala Lumpur United Football Club Sdn Bhd telah tampil memaklumkan bahawa proses pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan sedang giat dilaksanakan. — Facebook/KLCity

ISU berkaitan masalah tunggakan gaji bagi kelab Liga Super, Kuala Lumpur City FC (KL City) menarik perhatian ramai pengikut bola sepak tempatan.

Penderitaan pemain jelas terpancar dengan pemain seperti Paulo Josue mengaku sudah tidak menerima gaji selama tujuh bulan.

Bukan itu sahaja malah baru-baru ini, kelab itu dilaporkan turut terpalit dengan isu tunggakan pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) para pemain.

BACA LAGI: Lepas hilang Safawi-Akhyar, Terengganu mungkin terpaksa lupakan khidmat bek muda

BACA LAGI: Bukan bek Korea Selatan, JDT rupanya intai pertahanan Palestin hadapi ACLE

WhatsApp Image 2024-07-26 at 12.17.16

Proses pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan sedang giat dilaksanakan. — Facebook/KLCity

Susulan itu, pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Abdullah Sani Abd Hamid mendedahkan bahawa usaha itu sedang dilakukan dan dia mengatakan ia dalam proses untuk diselesaikan.

Dalam perkembangan lain, kemelut tunggakan gaji pasukan KL City FC akhirnya menemui tanda noktah apabila Ahli Lembaga Pengarah Kuala Lumpur United Football Club Sdn Bhd telah tampil memaklumkan bahawa proses pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan sedang giat dilaksanakan.

Perkara tersebut dikongsikan menerusi satu kenyataan rasmi di laman Facebook selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Kuala Lumpur United Fooball Club Sdn Bhd telah diadakan pada Khamis.

"Ahli Lembaga Pengarah sebulat suara bersetuju bergerak ke hadapan kenyataan media hanya akan dikeluarkan setelah mengambil kira keputusan kolektif yang telah diputuskan bersama.

"Proses pembayaran gaji sedang giat dilaksanakan serta pembayaran kepada badan berkanun.

"Ahli Lembaga Pengarah sentiasa bersatu padu untuk maju ke hadapan dan akan berdiri teguh di belakang kelab bagi memastikan Kuala Lumpur City FC meneruskan permulaan yang cemerlang musim ini, mengatasi segala kemungkinan dan terus menghasilkan keputusan yang baik," katanya.

Sementara itu, mereka turut menyeru agar penyokong Warga Kota itu hadir bagi memberi sokongan kepada KL City FC menjelang dua aksi Liga Super nanti.

"Kami amat berharap agar 'City Boys' dan 'City Girls' akan hadir beramai-ramai di dua perlawanan di halaman sendiri menentang Sri Pahang FC (27 Julai) dan Sabah FC (31 Julai)," tulisnya di Facebook. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram