BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
SUATU ketika tidak pun berapa lama sebelum ini, Datuk Ong Kim Swee kelihatan menua dalam sesingkat masa. Prestasi pasukan yang terumbang-ambing, kemelut gaji tertunggak yang membelenggu The Rhinos dan tersisihnya beberapa tonggak harus membuat tidur malam ketua jurulatih Sabah FC itu sering terganggu.
Namun, lonjakan ke tangga kedua liga – mungkin hanya untuk seketika di atas Selangor FC dengan perbezaan setipis satu mata -- serta selesainya tunggakan gaji kini dilihat mengembalikan pasukan itu ke landasan dihajati mereka.
Dengan jendela perpindahan kedua semakin hampir pada bulan Ogos ini untuk mereka mendapatkan pengganti kepada penyerang, Ramon Machado, yang sudah dilepaskan untuk menyertai Araz-Nakhchivan dalam Liga Perdana Azerbaijan, Sabah FC boleh menongkah arus dengan lebih berkeyakinan.
BACA LAGI: Muda-muda lagi aura pemimpin sudah ada, Arif Aiman tak keseorangan galas tanggungjawab kapten
BACA LAGI: 'Saya masih tertanya-tanya kenapa Brendan tinggalkan Selangor?'
Igauan tiga kekalahan berturut-turut – 0-4 kepada Terengganu FC di tempat lawan dan disusuli keputusan 0-3 di Kota Kinabalu dalam aksi Piala FA dan seterusnya tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi liga di Stadium Likas pada 13 Julai – harus sudah dilontar jauh-jauh daripada kotak fikiran mereka.
Tentunya ramai masih mengingati bagaimana hampanya Kim Swee dalam sidang media selepas aksi tidak menjadi daripada pemain-pemainnya ketika dibolosi empat kali di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu pada 28 Jun lalu.
Kemudian, sambil The Rhinos berkira-kira untuk menterbalikkan kedudukan di Stadium Likas selepas dua minggu berselang, mereka dibolosi tiga kali lagi. Bolos tujuh gol dalam kedua-dua perlawanan itu harus sukar ditelan mana-mana jurulatih dan Kim Swee tidak terkecuali.
Kontroversi menyusuli kekalahan 1-3 Sang Badak kepada JDT apabila jurulatih itu mendakwa perlawanan berlangsung dengan pelbagai penipuan. Ia difahami ramai sebagai merujuk kepada sepakan penalti lewat yang dihadiahkan kepada pelawat selepas semakan VAR terhadap Rawilson Batuil menjatuhkan Ariff Aiman Hanapi pada masa kecederaan.
"Tetapi malangnya apabila kami cuba dapatkan gol penyamaan (kami dikecewakan) terutama hadiah sepakan penalti -- saya tidak pasti hadiah daripada siapa,” katanya ketika itu.
Kesebelasan utama Sabah ketika menerima kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Likas pada Khamis.
Malang buat Negeri Sembilan FC. Skuad Jang itu datang pada waktu tidak bertepatan ketika Sang Badak tercari-cari kemenangan pencetus semangat dan berhasil meraihnya menerusi jaringan Daniel Ting (minit ke-13) dan sepakan penalti Jafri Firdaus Chew (m-80) untuk kemenangan 2-0 yang diraikan tuan rumah itu sebagai cukup bermakna.
Lebih-lebih lagi, ia diperoleh dalam ketiadaan Saddil Ramdani dan Darren Lok yang cedera sambil ia membuka peluang kepada pemain muda, Azhad Harraz dan Harith Naem Jaineh, yang dibawa masuk serentak sebagai pemain gantian pada minit ke-63 untuk kedua-duanya menyinar.
Bukan menghairankan apabila Kim Swee menganggap ia satu kepuasan dapat mengutip tiga mata di laman sendiri agar ia tidak berlarutan menjadi tiga kekalahan berturut-turut di Stadium Likas.
“Keputusan itu seperti yang kita kehendaki dan penting untuk kita mendapatkan kemenangan ini selepas kita tewas tiga perlawanan berturut-turut, namun paling positif bagi saya ialah kita tidak dibolosi.
“Ini penting. Kita perlu mengekalkan benteng pertahanan kita tidak dibolosi dan hari ini mereka menunjukkan satu tahap cukup tinggi, namun ada banyak lagi yang perlu kita perbaiki,” katanya.
Dalam pada itu, Kim Swee tidak mahu pemain-pemainnya mudah terbuai-buai dengan kemenangan itu, sebaliknya menuntut agar mereka meningkatkan lagi prestasi selepas ini.
“Ia satu keputusan yang cukup baik apabila berjaya bangkit daripada kekalahan sebelum ini. Meskipun mendapat tiga mata, kami perlu tingkatkan lagi prestasi untuk menempuh dua perlawanan seterusnya menentang Kuala Lumpur dan Sri Pahang di tempat lawan.
“Pemain-pemain muda akan sentiasa diberikan peluang tetapi mereka perlu berikan penyudah yang baik dengan membantu pasukan untuk menjaringkan gol dan boleh bermain sebagai satu unit,” tambahnya.
Dengan jadual menetapkan Sabah FC bermain dahulu minggu ini, kemenangan malam tadi melonjakkan mereka ke tangga kedua liga tetapi Kim Swee enggan dialpakan oleh kedudukan itu kerana perjalanan liga masih panjang.
Kedudukan sentiasa boleh berubah dengan sebarang mata yang keciciran boleh menyaksikan mereka dipintas.
“Ya kita kini di tangga kedua liga tetapi masih terlalu awal dan kita mempunyai banyak lagi perlawanan dengan fokus diberikan dari satu perlawanan ke satu perlawanan sebelum kita dapat melihat kedudukan sebenar pasukan ini,” jelasnya.
Dalam mengharungi musim yang panjang, Kim Swee turut menekankan perlunya Sabah FC mendapatkan penyerang baharu bagi mengatasi ketumpulan serangan selepas ketiadaan Machado dan kecederaan beberapa tonggak.
Harapannya ialah posisi itu dapat diisi apabila jendela perpindahan kedua pemain dibuka bulan depan, lantaran penyerang baharu penting bagi memperkuatkan bahagian serangan pasukan bagi memastikan Sang Badak dapat mengekalkan prestasi sehingga ke penghujung musim.
“Kita kehilangan Ramon dan pada masa sama dua pemain utama kita, Saddil Ramdani dan Darren Lok, mengalami kecederaan. Ini sudah tentu menyukarkan sedikit dari segi penyudah.
“Jadi, saya harap pada jendela perpindahan nanti kita mampu melakukan sesuatu, kita inginkan penyerang yang boleh membantu untuk memastikan kita berada pada tahap cukup baik,” katanya lagi.
Sabah FC seterusnya akan berkunjung ke laman Kuala Lumpur City (KLC) FC pada 31 Julai dan ke Temerloh untuk berdepan Sri Pahang FC pada 9 Ogos. Selanjutnya mereka akan kembali untuk menanti kedatangan Selangor FC ke Stadium Likas pada 13 Ogos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram