Keunggulan Arif Aiman 'tersebar' ke Timur Tengah, mula dikait dengan kelab Iran


  • Podium
  • Sabtu, 27 Jul 2024

Reputasi dan kebolehan Arif Aiman sudah sememangnya diketahui selepas menjadi tonggak utama JDT dan Harimau Malaya. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KEUNGGULAN pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi tidak boleh disangkal lagi dengan usianya baru sahaja mencecah 22 tahun ketika ini.

Dia yang meraih Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut merupakan antara bintang paling bersinar dalam kalangan pemain lokal.

Tidak cukup dengan itu, rekod jaringannya sejak mencipta debut senior pada 2019 adalah cukup membanggakan sehingga nama penyerang berkenaan terus menjadi sebutan dalam kalangan penyokong.

BACA LAGI: Arif Aiman anggap lilitan kapten bukan beban, akui jentera serangan JDT perlu lebih tajam

BACA LAGI: Legenda Johor pesan jangan leka jumpa TFC, ikut rapat 'update' Arif Aiman

WhatsApp Image 2024-07-27 at 3.56.57 PM

Terdapat khabar angin mengaitkan Arif Aiman dengan Persepolis FC ketika ini.

Reputasinya itu juga mula disedari sehingga ke pentas Asia apabila sebelum ini, terdapat khabar angin mengatakan Arif Aiman berada dalam radar kelab di liga utama.

Antara yang pernah dikaitkan dengan pemain kelahiran Pahang itu ialah pasukan sekitar Jepun dan Korea Selatan dengan masing-masing pernah menyaksikan keunggulan Arif Aiman dalam Liga Juara-Juara AFC.

Namun, perpindahan tersebut tidak pernah direalisasikan, sekali gus menyaksikan pemain berkenaan kekal di pangkuan skuad Harimau Selatan.

Tetapi, baru-baru ini, sebuah lagi pasukan di Asia seakan-akan berminat dengan khidmat penyerang Harimau Selatan terbabit menurut perkongsian di laman sesawang transfermarkt.

WhatsApp Image 2024-07-27 at 4.53.00 PM

Persepolis FC merupakan salah sebuah kelab digeruni di Iran. Agensi

Berdasarkan perkembangan terkini, Arif Aiman dikhabarkan berada dalam radar kelab Iran, Persepolis FC yang merupakan salah sebuah pasukan terbesar di negara Timur Tengah itu.

Khabar angin tersebut timbul selepas sebuah agensi media mereka meletakkan pemain JDT itu dalam senarai pemain untuk menggantikan Mehdi Torabi yang baru sahaja berpindah.

Ini sekali gus mengesahkan reputasi dan kredibiliti Arif Aiman sudah disedari peminat bola sepak di Iran, lebih-lebih lagi selepas pemain berkenaan bersinar di pentas Asia.

Musim ini, Arif Aiman sudah merekodkan satu gol dalam saingan Liga Malaysia selepas tidak dapat diturunkan akibat masalah kecederaan dialami.

Statistik berkenaan dijangka terus bertambah baik memandangkan dia akan terus menjadi watak utama Hector Bidoglio dalam misi skuad Harimau Selatan mengukuhkan cengkaman dalam arena bola sepak tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram