Arif Aiman anggap lilitan kapten bukan beban, akui jentera serangan JDT perlu lebih tajam


  • Podium
  • Khamis, 25 Jul 2024

Sebahagian aksi menarik ketika penyerang import JDT, Bergson da Silva (tengah) dikawal ketat oleh pemain Sang Kenari. — Facebook/MFL

PENYERANG muda sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi tidak menganggap peranan sebagai seorang kapten di JDT sebagai satu beban.

Pemain berusia 22 tahun yang diberi tugas oleh Hector Bidoglio untuk mengemudi Harimau Selatan buat kali pertama ketika aksi Piala FA 2024 bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC nampaknya tidak berdepan sebarang masalah.

Keputusan Bidoglio yang memberi kepercayaan kepada Arif sebagai ketua pasukan pastinya mengejutkan penyokong tanah air khususnya.

BACA LAGI: [VIDEO] FAM, MFL berdepan risiko lesen liga dari AFC ditarik balik

BACA LAGI: Lupakan Ivan Mamut, tiba masa Pahang, Penang, KL City percayakan 'striker' lokal

Arif AIman

Arif Aiman Hanapi. — Facebook/JDT

Ini kerana JDT memiliki beberapa pemain berpengalaman seperti Jordi Amat, Shahrul Saad, Matthew Davies dan Natxo Insa yang dilihat lebih sesuai untuk mengetuai pasukan.

Begitupun, ketenangan dan kelincahan Arif Aiman dalam mengemudi JDT aksi berdepan Sang Kenari akhirnya mampu menutup mulut banyak pihak apabila meraih kemenangan 2-1 dalam aksi tersebut.

Meskipun tidak menjaringkan gol dalam aksi tersebut namun Arif berjaya membuktikan bahawa dirinya mampu menjadi kapten pada masa akan datang.

Lilitan kapten itu dianggap sebagai satu penghargaan kepada dirinya yang merupakan antara tonggak utama dan ayam tambatan pasukan.

Hector

Hector memberi kepercayaan kepada Arif Aiman untuk menggalas tugas sebagai kapten pasukan. — Facebook/JDT

"Bagi saya, ia merupakan peluang yang terbaik untuk saya dan ia satu penghargaan untuk jadi kapten JDT.

“Saya tidak melihat lilitan kapten sebagai beban kerana ia merupakan pengalaman pembelajaran yang berharga buat saya dan ia hanya boleh menjadikan saya pemain yang lebih baik," kata pemain berusia 22 tahun itu.

Meskipun meraih kemenangan dalam aksi di Stadium Darul Aman, Kedah 19 Julai lalu namun Arif berharap agar jentera serangan Harimau Selatan akan lebih tajam menjelang pertemuan kedua pada 4 Ogos nanti.

"Kami memang bermain dengan baik dan meraih kemenangan namun ketajaman penyudah di depan pintu gawang perlu dipertajamkan dan diperbaiki lagi.

"Jadi kami mesti lebih bersedia dengan jentera serangan yang tajam untuk aksi kedua nanti di Stadium Sultan Ibrahim," jelasnya. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram