Jersi baharu gagal hasilkan tuah, Sang Kenari diikat Kuching City FC di Darul Aman


  • Podium
  • Jumaat, 26 Jul 2024

Tangkap layar memaparkan jersi baharu disarung pemain KDA FC dalam aksi pada Jumaat.

KEDAH Darul Aman (KDA) FC gagal untuk mendapat tuah daripada jersi baharu selepas hanya mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika aksi Liga Super 2024 menentang Kuching City FC yang berlangsung Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Jumaat.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan penguasaan yang seimbang.

Bagaimanapun, Kuching City FC dilihat lebih mengancam hasil daripada beberapa gerakan kreatif daripada pemain tengahnya, Daniel Amir yang berjaya menembusi pertahanan lawan.

BACA LAGI: [VIDEO] Walau hanya ada lencana Sang Kenari, fans puji jersi baharu KDA FC

BACA LAGI: Aksi TFC-JDT jarang mengecewakan, 3 pertembungan sukar dilupakan

Anak buah Aidil Sharin Sahak hampir memecah kebuntuan pada minit ke-26 namun dua pemain serangannya gagal menyambut dengan baik peluang terhidang hasil hantaran lintang di hadapan pintu gol.

KDA FC pula agak bergelut untuk mencipta peluang gol dengan barisan pemain di bahagian hadapan seperti Ebenezeer Assifuah dan Syafiq Ahmad dilihat agak tumpul dalam merencanakan gerakan berbahaya ke kubu lawan.

Bagaimanapun, memasuki separuh masa kedua, tuan rumah mula lebih garang menerusi beberapa gerakan menyerang ke kubu lawan yang lebih kemas.

Hasilnya, anak buah Nafuzi Zain berjaya memecah kebuntuan pada minit ke 72 selepas pemain tengahnya, Hasbullah Abu Bakar menanduk masul gol menerusi peluang terhidang berpunca kesilapan yang berlaku antara penjaga gol Kuching City FC, Shahrl Sa'ari dan Jimmy Raymond.

Sang Kenari hampir menambah jaringan pada minit ke-72 namun tandukan tipis Ebenezeer yang menyambut hantaran lintang daripada Wan Amirul Afiq hanya melintas di hadapan pintu gol pelawat.

Bagaimanapun, Kuching City FC menyamakan kedudukan pada minit ke-93 menerusi sepakan penalti selepas video bantuan pengadil (VAR) mengesan kesalahan dilakukan pertahanan KDA FCM Irfan Zakaria yang menjatuhkan TcheTche Kipre di dalam kotak penalti.

Dalam pada itu, di media sosial, penyokong Sang Kenari cukup teruja untuk menyaksikan pemain menyarung jersi yang baru sahaja dilancarkan pada Jumaat.

"Smart jersi baru Kedah," tulis Hashidi Wahab.

"Macam Brazil wooo," ujar Mohd Zarifi Shahidan MatPi.

"Naik seri jersi nih," kata Mohd Badrul Hisyam Mbh.

Keputusan separuh masa pertama perlawanan berakhir KDA FC 0-0 Kucing City FC.

Keputusan seri 1-1 menyaksikan KDA FC kini di tangga kelima dengan tujuh mata dan hanya dibezakan dengan perbezaan jaringan gol di hadapan Kuching City FC yang menduduki tangga keenam selepas enam perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram