Tak juara tak apa, Harimau Muda pikul misi berbeza berdepan Indonesia dalam aksi Piala AFF B-19


  • Podium
  • Khamis, 25 Jul 2024

Skuad B-19 kebangsaan sudah tentu akan diharapkan mampu menjuarai pertandingan tersebut buat kali kedua berturut-turut. — Facebook/FAM

KEPUTUSAN seri direkodkan skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan ketika berdepan Thailand sudah cukup untuk membawa mereka ke pusingan seterusnya Piala AFF B-19.

Lebih menarik lagi, pasukan bimbingan Juan Torres Garrido itu mengakhiri pusingan kumpulan di kedudukan teratas dengan tujuh mata dicatatkan.

Prestasi itu sudah tentu akan menyuntik semangat buat skuad muda kebangsaan tersebut untuk menjuarai kejohanan buat kali kedua berturut-turut.

BACA LAGI: Piala AFF B-19: Mudah ratah Brunei, Harimau Muda diingat tak gembira terlalu awal

BACA LAGI: [VIDEO] Piala AFF: Dihidang laluan mudah bikin ekor Harimau Malaya tersenyum riang

452676713_1192288505177717_3596393301073177869_n

Misi besar diletakkan di bahu skuad Harimau Muda bagi perlawanan akan datang. Facebook/FAM

Bagaimanapun, cabaran besar menanti pasukan B-19 negara apabila mereka bakal berdepan tuan rumah, Indonesia dalam aksi di Stadium Gelora Bung Tomo, Indonesia pada Sabtu.

Pertembungan kedua-dua negara itu sudah tentu dinantikan memandangkan perlawanan antara mereka diberi jolokan Derbi Nusantara bagi menceritakan kehangatan perlawanan tersebut.

Malah, penyokong Harimau Muda juga seakan-akan memahami kepentingan aksi tersebut sehingga ramai daripada peminat setia beranggapan kemenangan ke atas skuad muda Indonesia adalah lebih penting.

"Ya betul, tidak juara pun tidak apa, janji menang ke atas Indonesia kerana mereka sering berlagak. Macamlah mereka itu hebat sangat," kata Khaidir Sabrah.

"Kamu semua tidak menang Piala AFF B-19 pun tidak mengapa. Yang penting, negara jiran itu kamu semua kalahkan. Itu akan buatkan kami berpuas hati," kata Jack MA Zahir.

"Nampak perlawanan dengan Indonesia ni boleh tahan sukar. Jadi, pada saya, lebih baik untuk kalahkan mereka daripada muncul juara kali ini," kata Gram Karim.

Satu lagi pertembungan separuh akhir Piala AFF B-19 bakal menyaksikan juara kumpulan B, Australia berdepan Thailand di venue dan tarikh yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram