Piala AFF B-19: Mudah ratah Brunei, Harimau Muda diingat tak gembira terlalu awal


  • Podium
  • Jumaat, 19 Jul 2024

Skuad muda kebangsaan akan berehat sebelum kembali bagi aksi kedua menentang Singapura pada Isnin depan. — Facebook/FAM

SKUAD Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan membuka kempen Piala AFF B-19 dengan langkah kanan selepas membelasah Brunei B-19 dengan keputusan 11-0 di Stadium Gelora 10 November, Surabaya, Indonesia pada Jumaat.

Selepas mendahului dengan enam gol pada babak pertama, pasukan itu menambah lima lagi jaringan pada separuh masa kedua bagi memastikan tiga mata dibawa pulang.

Malah, perlawanan itu turut menyaksikan kebolehan skuad Harimau Muda secara keseluruhan memandangkan terdapat lapan penjaring berbeza dalam aksi tersebut.

BACA LAGI: Nasib Saravanan seperti terlepas mulut buaya, masuk mulut harimau

BACA LAGI: Bakat muda, 'beku' naturalisasi antara talian hayat KPG bantu kebangkitan Harimau Malaya

451686663_1188713058868595_6503819120669063869_n

Adib mencetak hatrik untuk membantu skuad Harimau Muda meraih kemenangan besar. Facebook/FAM

Ini termasuk Abid Safaraz yang mencetak hatrik sementara G Pavithran mencetak dua gol sementara yang lain hanya pulang dengan satu jaringan peribadi.

Bagaimanapun, keputusan berkenaan diharapkan dapat diteruskan memandangkan terdapat kejadian sebelum ini apabila skuad negara tergelincir selepas membuka kempen dengan langkah kanan.

"Tahniah adik-adik, sekarang fokus untuk perlawanan seterusnya kerana tiada yang mustahil. Dalam perlawanan lain, jangan rendah lawan dan jangan terlebih yakin.

"Lencana di dada jadikan pemangkin semangat untuk memartabatkan nama Malaysia di mata dunia dalam sukan bola sepak dan abaikan kritikan negatif," kata Soo Pi Yan.

451760132_1188734412199793_2278298351686806161_n

Garrido sudah tentu berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya. Facebook/FAM

"Tahniah, jangan terlalu gembira kerana masih boleh ditambah baik lagi untuk dapatkan kemenangan dalam perlawanan akan datang," kata Amirul Choding.

"Alhamdulillah, kemenangan untuk moral. Perlawanan seterusnya adalah ujian sebenar yang akan menanti skuad kebangsaan. Terus kekalkan momentum dan terus berdisiplin," komen Miqdad Miq.

Kemenangan diraih skuad bimbingan Juan Torres Garrido itu menyaksikan mereka kini menduduki tangga teratas Kumpulan C selepas satu perlawanan berlangsung.

Mereka bakal berdepan Singapura dalam pertembungan yang bakal berlangsung di venue sama pada Isnin depan sebelum bertemu Thailand di Stadium Gelora Bung Tomo, Indonesia tiga hari kemudian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram