SEMUA pihak terutamanya penyokong skuad kebangsaan masih sukar menerima hakikat bahawa ketua jurulatih, Kim Pan-gon memutuskan untuk mengundurkan diri selepas hampir tiga tahun membimbing pasukan kebangsaan.
Pengendali dari Korea Selatan itu mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya berkuat kuasa serta merta pada 16 Julai lalu kerana komitmen peribadi.
Pengendali berusia 55 tahun itu sempat berkongsi foto-foto kenangannya sejak menjejakkan kaki di tanah air pada awal tahun 2022 bersama para pemain Harimau Malaya, barisan kejurulatihan dan beberapa individu lain.
BACA LAGI: Media Korea Selatan kecoh KPG undur diri jadi pengendali Harimau Malaya
BACA LAGI: Jurulatih datang dan pergi’, Hamidin terkilan Pan-gon letak jawatan
Namun sehingga kini masih ramai yang meratib peletakan jawatan Pan-gon sehingga di ruangan komen Instagram beliau turut menyaksikan ramai penyokong termasuk individu berpengaruh tanah air turut sukar mengucapkan selamat tinggal mereka.
Beberapa gambar beserta kapsyen 'Beautiful Malaysia, thank you and goodbye all lovers!' itu membuatkan ruangan komennya dihujani dengan ucapan selamat tinggal dan emoji tangisan.
"Anda akan dirindui," komen Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut akan merindui kenangan sepanjang bekerjasama bersama Pan-gon dalam menaikkan semula nama Malaysia di arena bola sepak dunia.
"Kim Pan-gon seorang jurulatih yang sangat mengagumkan tapi sayangnya meletakkan jawatan terlalu awal. Beliau yang bantu naikkan ranking Malaysia dan membantu skuad kebangsaan layak ke Piala Asia 2023. Terima kasih coach," komen penyokong, seanh457.
"Terima kasih sangat-sangat coach sebab membantu memajukan Malaysia," kata penyokong bola sepak tanah air, Amirul Hafizuddin.
Pan-gon akan digantikan pembantunya, Pau Marti Vicente yang akan berada memegang jawatan itu sehingga aksi Pestabola Merdeka seperti mana disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi.
Jurulatih berusia 55 tahun berkenaan menyertai skuad kebangsaan pada 2022 bagi menggantikan Tan Cheng Hoe dengan misi cukup besar dipikulnya.
Keputusan FAM memilih Pan-gon menyelamatkan bahtera skuad kebangsaan berbaloi apabila pengalamannya di beberapa negara Asia menyaksikannya membawa perbezaan besar buat Harimau Malaya, terutamanya dari segi kedudukan ranking FIFA.
Selain itu, Pan-gon membawa kenangan cukup bermakna buat peminat bola sepak tanah air selepas membantu pasukan itu ke Piala Asia 2023 meskipun pencapaian negara kurang memuaskan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram