Lepas hilang Safawi-Akhyar, Terengganu mungkin terpaksa lupakan khidmat bek muda


  • Podium
  • Khamis, 25 Jul 2024

Duo sensasi Sang Penyu terpaksa menjadi penonton aksi Terengganu bertemu Johor Darul Ta'zim Jumaat nanti. — Facebook/TFC

IMPIAN penyokong Terengganu FC (TFC) untuk melihat gandingan berbisa tonggak Sang Penyu, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid tidak kesampaian.

Ia kerana berdasarkan persetujuan bersama antara pihak pengurusan Terengganu dan JDT, dua tonggak itu tidak boleh diturunkan menentang pasukan Harimau Selatan kerana berstatus sebagai pemain pinjaman.

Pastinya kehilangan dua pemain berbisa itu dilihat akan merencatkan corak permainan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner kerana kedua-dua tonggak Sang Penyu itu banyak membantu jentera serangan pasukan berkenaan.

BACA LAGI: Susah nak puaskan hati semua orang, fans Sang Kenari sepakat lebih baik GTR Burger undur diri

BACA LAGI: Arif Aiman anggap lilitan kapten bukan beban, akui jentera serangan JDT perlu lebih tajam

Safwan

Terengganu FC perlu melupakan khidmat Safwan Mazlan. Facebook/TFC

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Terengganu kini difahamkan berdepan situasi getir apabila akan kehilangan khidmat bek muda pasukan itu ekoran mengalami masalah kecederaan.

Menerusi satu hantaran yang dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Fadhirul Shuhaimi, dia mendedahkan peluang Sang Penyu untuk meraih kemenangan ke atas JDT semakin pudar.

"Selain tanpa Safawi Rasid dan Akhyar Rashid untuk aksi bertemu Johor Darul Ta'zim, Terengganu turut terpaksa lupakan khidmat tonggak pertahanan, Safuwan Mazlan yang alami kecederaan hamstring," tulisnya di laman X.

Susulan kehilangan beberapa tonggak penting tersebut, Sang Penyu dilihat akan bergelut untuk mendapatkan keputusan positif menjelang aksi berkenaan.

Skuad Harimau Selatan akan menerima kunjungan Sang Penyu dalam saingan Liga Super 2024 pada Jumaat.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan setakat ini masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram