Aksi TFC-JDT jarang mengecewakan, 3 pertembungan sukar dilupakan


  • Podium
  • Jumaat, 26 Jul 2024

Terengganu yang akan berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim pastinya mahu mengekalkan momentum kemenangan meskipun kehilangan tiga tonggak utama.

SEBUT sahaja Johor Darul Ta'zim (JDT), pastinya majoriti pasukan Liga Malaysia (Liga M) gerun mendengar nama kelab tersebut.

Hal ini kerana, pasukan gergasi tanah air itu sudah merekodkan 10 kejuaraan Liga Super berturut-turut dengan mereka memiliki peluang cerah untuk menjulangnya pada penghujung musim 2024/25.

Dalam pada itu, menjelang perlawanan antara Terengganu FC bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pastinya antara yang ditunggu-tunggu oleh penyokong tanah air.

BACA LAGI: Lepas hilang Safawi-Akhyar, Terengganu mungkin terpaksa lupakan khidmat bek muda

BACA LAGI: Susah nak puaskan hati semua orang, fans Sang Kenari sepakat lebih baik GTR Burger undur diri

Mana tidaknya, setiap pertembungan antara pasukan Pantai Timur dan Selatan itu sering menyajikan aksi yang penuh kontroversi.

Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga aksi yang pastinya sukar dilupakan oleh penyokong Sag Penyu dan Harimau Selatan khususnya.

JDT VS TFC 2023

Sebahagian aksi tonggak Sang Penyu, Sony Norde (tengah) ketika dikawal ketat oleh pemain JDT.

1. Liga Super 2023

Masihkah anda ingat aksi Liga Super 2023 antara TFC dan JDT?.

Perlawanan tersebut dianggap 'panas' apabila layangan kad merah diberikan kepada pemain TFC, Argzim Redzovic kerana mengasari Fernando Forestieri.

Layangan kad merah itu sekali gus menyaksikan JDT meraih kemenangan mudah dengan keputusan 3-1 ketika itu.

Pastinya ramai penyokong Sang Penyu akan mengingati aksi ini kerana bukan satu tapi dua kad merah dilayangkan kepada TFC.

Kad merah kedua pula dilayangkan kepada Ivan Mamut yang dikatakan mengasari pertahanan JDT, Feroz Baharuddin.

Dalam pada itu, pastinya penyokong Sang Penyu tidak mahu insiden dua kad merah itu menghantui Terengganu dalam aksi yang akan berlangsung pada Jumaat.

TFC-JDT 2-2

Pemain Terengganu meraikan kemenangan ketika mencalar rekod JDT.

2. Piala Malaysia 2018

Lima tahun sudah berlalu, Terengganu pernah membuat kejutan selepas tampil garang untuk mengikat skuad Harimau Selatan.

Dalam saingan Piala Malaysia 2018, siapa sangka, Terengganu pernah mencalarkan rekod JDT untuk mempertahankan kejuaraan kempen Piala Malaysia apabila mara ke fnal dengan agregat 3-2.

JDT yang beraksi di hadapan penyokong sendiri itu terpaksa melupakan impian ke final Piala Malaysia kerana gagal menyekat kemaraan jentera serangan Sang Penyu.

Menariknya aksi ketika itu, bekas tonggak TFC iaitu Kipre Tchetche meledak dua gol dalam aksi tersebut sekali gus membantu Sang Penyu mara ke final dengan keputusan akhir 2-2.

LG 2021

Pemain Sang Penyu (jersi putih) mengasak pintu gawang Harimau Selatan yang dijaga kemas oleh Farizal Marlias.

3. Liga Super 2021

Terengganu berjaya mencipta sejarah bagi musim 2021 apabila menjadi pasukan pertama yang berjaya menewaskan skuad JDT.

Dalam saingan Liga Super 2021, TFC menewaskan JDT dengan keputusan 1-0 di laman lawan.

Menariknya ketika itu, gol tunggal tersebut berjaya diledak oleh pemain tengah, Hakimi Abdullah di hadapan penyokong Harimau Selatan sendiri.

Pastinya amat sukar bagi mana-mana pasukan Liga M untuk mencalar rekod JDT yang kini semakin kuat di bahagian pertahanan dan serangan.

Begitupun, dengan semangat juang yang tinggi, Sang Penyu akhirnya berjaya meleburkan rekod Harimau Selatan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram