HANGAT khabar angin di media sosial ketika ini mengatakan pemain tengah negara, Brendan Gan bakal kembali ke pangkuan Selangor FC pada jendela perpindahan akan datang.
Dia yang menyertai Kuala Lumpur (KL) City FC pada awal musim lalu boleh dikatakan amat dirindui skuad Gergasi Merah selepas kira-kira tujuh perlawanan.
Meskipun usianya sudah semakin lanjut, kebolehan pemain berkenaan untuk mengawal tempo amat diperlukan meskipun tugas berkenaan kini dipikul Noor al-Rawabdeh atau Nooa Laine.
BACA LAGI: 'Kawal emosi', Nidzam ingatkan pemain Selangor FC 'belajar' terima keputusan pengadil
BACA LAGI: Selangor terlepas, Ramon Machado kembali ke Liga Azerbaijan
Brendan Gan kini merupakan tonggak skuad Warga Kota.
Selain itu, karismanya sebagai seorang kapten dan ketua di atas padang dan di dalam bilik persalinan amat dirindui dengan ia adalah kunci utama di sebalik kedudukan pasukan musim lalu.
Bagaimanapun, dengan usianya sudah mencecah 36 tahun, Selangor FC perlu bergerak ke hadapan dan mencari seorang pemain lain dengan peranan sedemikian.
Di samping boleh mematahkan gerakan lawan, pasukan kendalian Nidzam Jamil memerlukan jeneral yang tidak tahu erti penat lelah sepanjang beraksi.
Berdasarkan pemerhatian dalam Liga Super ketika ini, terdapat tiga alternatif lain yang boleh mengulangi peranan pernah dipikul Brendan Gan sepanjang empat tahun mengemudi bahagian tengah Selangor FC.
1. Stuart Wilkin (Sabah FC)
Khabar angin mengaitkan Stuart Wilkin dengan skuad Gergasi Merah bukanlah sesuatu yang baharu apabila kedua-dua pihak itu pernah dikaitkan pada jendela perpindahan lalu.
Pemain tengah negara berkenaan memiliki profil paling cocok dengan Brendan Gan dengan perkara itu dapat disaksikan di peringkat Harimau Malaya.
Ketenangan dalam membuat hantaran dan keyakinan untuk melakukan percubaan dari luar kotak merupakan antara kelebihan utama dimilikinya.
Stuart Wilkin terus menjadi watak penting skuad Sang Badak musim ini. — Instagram/Stuart Wilkin
Bagaimanapun, majikan semasa pemain tersebut, Sabah FC seakan-akan enggan untuk melepaskannya kerana Stuart Wilkin adalah komponen utama pasukan.
Tetapi, berdasarkan laporan, masalah gaji serius sedang dialami kelab Borneo tanah air berkenaan dengan pemain masih belum menerima bayaran setakat ini.
Masalah itu boleh dimanfaatkan Selangor FC dalam misi mereka menyambar Stuart Wilkin meskipun terpaksa menunggu jendela perpindahan akhir musim.
2. Azalinullah Alias (Perak FC)
Sejak berhijrah ke Perak FC pada jendela perpindahan kedua musim lalu, Azalinullah Alias sudah mendapat rentak dalam kariernya semula.
Dia yang kerap diperam akibat masalah kecederaan di Terengganu FC kelihatan sudah menjadi watak penting buat pasukan bimbingan Yusri Che Lah.
Meskipun masih belum membawa pulangan buat skuad The Bos Gaurus (TBG) secara keseluruhan, kehadirannya masih wajar dianggap cukup penting.
Azalinullah kembali meraih rentak selepas menyertai skuad TBG pada 2023. — Facebook/Perak FC
Ini kerana Azalinullah memiliki kecergasan untuk memberi tekanan sepanjang 90 minit permainan terhadap pihak lawan dalam misi mensia-siakan peluang mereka.
Jadi, sekiranya Selangor FC berhasrat untuk mencari alternatif kepada Brendan Gan, pemain berusia 28 tahun berkenaan merupakan salah seorang calon terbaik.
Masalah prestasi dialami kelab Utara tanah air itu boleh memberi ruang buat skuad Gergasi Merah mendapatkan Azalinullah seawal pembukaan jendela perpindahan pada Ogos.
3. Nor Azam Azih (Sri Pahang FC)
Sepanjang beberapa musim lalu, Nor Azam Azih kerap dikaitkan dengan Selangor FC, lebih-lebih lagi ketika pemain itu berada di kemuncak kariernya.
Minat tersebut masih tidak luntur sehingga kini apabila sepanjang jendela perpindahan lalu, pemain Sri Pahang FC itu masih dikaitkan dengan kelab Lembah Klang berkenaan.
Ini selepas Nor Azam dilihat sebagai calon terbaik untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Brendan Gan dan sebelum skuad Gergasi Merah mengumumkan kehadiran Nooa.
Nor Azam sekali lagi dikaitkan dengan Selangor FC pada jendela perpindahan lalu. — Facebook/Sri Pahang FC
Tetapi, dengan Nooa masih bergelut dalam posisinya, pemain kelahiran Maran, Pahang itu wajar disambar dalam misi membawa kestabilan dalam pasukan.
Persoalannya, melihat kepada masalah kecederaan Nor Azam, terdapat kemungkinan besar Nidzam tidak akan tertarik dalam membuat pelaburan terhadapnya.
Selain itu, keengganan pemain tengah tersebut untuk meninggalkan negeri kelahirannya akan sekali lagi membawa kehampaan buat pihak pengurusan Selangor FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram