SELEPAS Johor Darul Ta'zim (JDT) dikaitkan dengan beberapa kemasukan pemain baharu, kini Selangor FC pula dikhabarkan akan membawa bekas kapten pasukan, Brendan Gan menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) nanti.
Menerusi perkongsian laman Instagram, @Selangorfans_official, Gergasi Merah akan diperkuatkan dengan empat pemain tempatan baharu menjelang jendela perpindahan kedua Liga Super bulan depan.
Selain Brendan, nama bekas pemain kelab Cagliari Calcio, Kobe Jae Chong turut dikhabarkan akan menyertai skuad Nidzam Jamil selepas didakwa sudah mendapat pasport Malaysia.
BACA LAGI: Brendan Gan, Kobe Jae Chong antara 5 nama dicanang perkuat Gergasi Merah bulan depan
BACA LAGI: [VIDEO] Penyokong Selangor rindu ex-import, fans Sang Penyu kagum aksi Noor Al-Rawabdeh
Sebelum ini tular di media sosial, gambar Kobe sedang menjalani latihan bersama skuad Gergasi Merah sekali gus memberikan gambaran bahawa pemain itu bakal menyertai Selangor.
Mengulas lebih lanjut mengenai khabar angin perpindahan Brendan ke Selangor, Presiden Anak Selangor Fans Club (ASFC), Faizal Wahid berkata, anggap pemain itu mempunyai karakter yang hebat tetapi berasa pelik dengan keputusannya meninggalkan Selangor musim ini.
"Saya berpendapat Noor Al-Rawabdeh, Yohandry Orozco dan Nooa Laine dah cukup bagus untuk berada di bahagian tengah pasukan.
"Bagi saya Brendan (Gan) adalah seorang pemain yang mempunyai karakter pahlawan di atas padang dan boleh menunjukkan contoh baik kepada pemain lain.
"Namun begitu, saya juga masih tertanya-tanya apa punca Brendan pergi meninggalkan pasukan musim ini?" katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, kemasukan Kobe akan memberikan kelebihan buat pengendali Selangor, Nidzam Jamil untuk membawa Gergasi Merah ke pentas Asia musim ini.
"Mengenai Kobe, dia adalah pemain tengah yang sangat bagus.
"Kobe juga mempunyai banyak pengalaman beraksi di Eropah seperti England dan beberapa negara lain.
"Jadi jikalau dia hadir ke dalam kem Selangor ia agak bagus untuk saingan Asia musim ini.
Faizal turut menyeru agar pihak pengurusan Selangor memperbaiki segera jentera barisan serangan Gergasi Merah menjelang jendela perpindahan kedua nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram