PENAMATAN kontrak penyerang import Sabah FC, Ramon Machado pada awal Julai lalu membuka peluang kepada kelab Liga Super lain untuk merebut khidmatnya bagi menambah baik kualiti di bahagian serangan.
Impian untuk menyaksikan skil Machado berterusan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bagaimanapun tidak kesampaian susulan pemain kelahiran Brazil berkenaan disahkan menyertai pasukan berpangkalan di Azerbaijan.
Menerusi laporan media luar negara, Machado difahamkan sudah menyertai Araz-Nakhchivan dengan dia dikatakan sudah menyertai kem latihan pasukan Liga Perdana Azerbaijan itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Cifu antara 3 bintang 'terlepas mulut buaya, masuk mulut harimau' musim ini
BACA LAGI: Penyerang 'free agent' Jordan, peluang ikut jejak langkah Reziq, Rawabdeh?
Pasukan itu difahamkan menandatangani kontrak setahun bersama Machado. Pemain berusia 33 tahun berkenaan bukan nama asing lagi dalam Liga Perdana Azerbaijan kerana sebelum ini pernah bermain bersama Neftchi dan Gabala.
Penghijrahan Machado ke Azerbaijan juga secara tidak langsung menutup peluang untuk beberapa pasukan Liga Super khususnya Selangor FC yang sebelum ini antara kelab terdekat memburu khidmatnya.
Machado yang menjadi antara penyumbang besar di bahagian hadapan Sabah FC dengan menyumbang 12 gol dalam 17 perlawanan dalam semua pertandingan musim 2023 menjadi tarikan terbesar untuk Selangor memburu kepakarannya.
Machado diumumkan sebagai pemain baharu Araz-Nakhchivan.
Keinginan Selangor memburu khidmat Machado pastinya disebabkan kerana Ronnie Fernandez selaku penyerang utama Gergasi Merah masih belum memberi keyakinan sepenuhnya untuk mengambil tanggungjawab sebagai penggempur utama musim ini.
Meskipun, catatan rekod semasa Ronnie semakin meyakinkan dengan merekodkan tiga jaringan secara keseluruhan dalam empat perlawanan Liga Super namun masih ada kritikan dilempar terhadapnya.
Dengan keadaan tidak memihak kepada Gergasi Merah untuk mendapatkan khidmat Machado, barisan pencari bakat Selangor nampaknya perlu menjadi calon lain untuk mengepalai bahagian serangan kelab Lembah Klang itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram