Jadual malang rumitkan lagi ikhtiar Negeri Sembilan FC


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Sabtu, 22 Jun 2024

Negeri Sembilan masih gagal mengutip sebarang mata dalam tiga perlawanan terakhir.

BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.

PISAU mungkin sudah terhunus terhadap ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Azzmi Aziz, selepas tiga kekalahan berturut-turut dalam liga di samping satu lagi dalam Piala FA, dengan tumpuan diberikan kepada 14 gol yang skuad Rusa itu sudah bolos.

Harus difahami bahawa ia terlalu jauh daripada permulaan ideal yang diharap-harapkan penyokong tetapi jadual yang tidak memihak juga satu faktor yang perlu diambil kira sebelum suatu bentuk hukuman dijatuhkan ke atas jurulatih berusia 49 tahun itu.

Menyusuli kekalahan 0-3 kepada Kuala Lumpur City FC (KLCFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam tadi, nama bekas ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, adalah antara yang turut dicanang-canangkan bagi menyelamatkan kempen NSFC musim ini.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Poster boy' Kedah, Adib Ra'op antara pemain potensi panaskan derbi Utara

BACA LAGI: Penyokong Sri Pahang risau mental pemain Tok Gajah tak kuat lawan JDT

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu dilaporkan awal bulan ini sudah berpisah dengan kelab Thailand, Police Tero, selepas pasukan yang dibimbingnya itu itu tersingkir ke divisyen dua musim hadapan.

Menurut laporan media di Thailand, Police Tero enggan untuk terus menggunakan khidmat Cheng Hoe dan mereka mahu melantik ketua jurulatih baharu dalam usaha untuk kembali ke saingan Thai League 1.

"Hello... boleh bercakap dengan Encik Tan Cheng Hoe?” soal Khairul Faizi di satu platform media sosial, sambil Mohd Zamel menokok: “Tan Cheng Hoe jurulatih Negeri Sembilan yang baru, keputusan adalah muktamad, segala surat-menyurat tidak akan dilayan."

"Azzmi Aziz gagal, patut ditukar! Pengurusan patut bertanggungjawab. Taktikal hancur. Mano corak permainan kau sebagai coach. Negeri Sembilan Football Club dah 14 bolos, jangan berdiam,” kata satu komen keras di laman Facebook Penyokong Setia Negeri Sembilan (PSNS).

Komen sedemikian menyimpulkan kekecewaan penyokong NSFC di samping banyak lagi yang mempersoalkan kesungguhan pemain, namun kebanyakannya mempertikaikan kemampuan Azzmi – jurulatih ‘giant killer’ bersama PDRM FC sebelum tidak semena-mena direhatkan pada pertengahan musim lalu tanpa sebarang alasan mahupun pencerahan ditawarkan.

Namun, demi berlaku adil kepada Azzmi, sentuhannya bersama pasukan belum pun lama untuk dia ditakrif sudah gagal.

Mengambil alih sebuah pasukan di tangga kesembilan musim lalu yang menghimpun 11 kekalahan dalam liga, sudah tentu dia perlukan lebih masa untuk mewujudkan keserasian dalam pasukan yang telah melepaskan ramai pemain tonggak, antaranya Tommy Mawat, Filemon Anyie, Mahali Jasuli, Shahrel Fikri Mohd Fauzi, Sean Selvaraj, Herold Goulon, Casagrande, Zaquan Adha Abd Radzak dan Levy Madinda.

Dengan membariskan tenaga import, Aliyu Abubakar (bek tengah), Jacque Faye, Takumi Sasaki, An Sang-su (tengah), Hein Htet Aung (sayap) serta Lee Kwang-hui dan Mika Junco (penyerang) musim ini, masa diperlukan untuk mereka mewujudkan keserasian dengan rakan sepasukan.

Bunyinya mungkin dianggap remeh tetapi jadual liga juga sebenarnya sangat mencemburui NSFC di peringkat permulaan liga musim ini.

Dijadualkan berdepan juara dan naib juara liga musim lalu, JDT (1-3) dan Selangor FC (0-4) lebih dahulu, disusuli kekalahan 0-3 kepada KLCFC, pasukan di tangga ketujuh liga musim 2023, tuah jadual langsung tidak memihak NSFC.

Menanti mereka seterusnya ialah Sri Pahang FC di Temerloh (13 Julai), Sabah FC di Paroi (27 Julai) dan Terengganu FC di tempat lawan (30 Julai) – tiga pasukan dalam kelompok enam teratas musim lalu – skuad Rusa itu berdepan kemungkinan ditundukkan dalam enam perlawanan berturut-turut.

Hanya sesudah itu, barulah lawan seperti PDRM FC, Kedah FC, Perak FC, Penang FC, Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) dan Kuching City FC digilirkan menjadi lawan ketika peluang mencuri mata mungkin lebih seimbang.

Sebagai perbandingan, NSFC seri 1-1 dengan Sri Pahang FC, seri 0-0 dengan Penang FC dan tewas 0-7 kepada JDT dalam tiga perlawanan pertama musim lalu sebelum mencipta kemenangan sulung 2-1 ke atas Terengganu FC dalam perlawanan keempat.

Untungnya, di sebalik mengakui halangan sukar yang menanti mereka seterusnya, Azzmi belum bersedia untuk mengibarkan bendera putih.

“Ya, pastinya kita amat terdesak selepas mengalami kekalahan empat kali berturut-turut. Tiga (dalam) liga dan satu (dalam) Piala FA. Saya pasti bila kita ke Temerloh, memang satu lagi cabaran yang sukar.

“(Sri) Pahang satu pasukan yang bagus tapi apa pun kita kena positif sebab itu saja pilihan yang kita ada sekarang. Jadi, kita akan cuba sebaik mungkin Insya Allah,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan malam tadi.

Jurulatih itu mempertahankan bahawa pasukannya mampu menyerapkan asakan pasukan pelawat sehingga kad merah ke atas Faye pada minit ke-52, menyukarkan keadaan buat mereka hingga membenarkan KLCFC yang mendahului 1-0 menerusi Brendan Gan ketika itu menambah dua gol lagi.

“Selepas rehat tiga minggu selepas ini, kita kena tingkatkan keupayaan. Saya percaya kita kena bersatu kembali, lebih kuat dan lebih baik lagi. Sangat sukar buat saya sebenarnya, banyak benda kena buat,” katanya lagi.

Tapi untuk menyerah kalah ketika ini, tentunya itu bukan sifat Azzmi yang sudah mengharungi pelbagai saat getir untuk percaya pemain-pemainnya mampu bangkit menyahut cabaran ketika keadaan tidak memihak mereka.

Penyokong NSFC harus lebih bersabar sehingga tiba detik lebih adil dan bersesuaian untuk mereka mengadili jurulatih itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram