TERENGGANU FC (TFC) memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menewaskan Selangor FC 3-2 dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Jumaat.
Permainan bermula menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi tanpa elemen bertahan dengan Terengganu dan Selangor mempamerkan corak permainan seimbang apabila saling membuat serangan bertali arus.
Peluang untuk Selangor mendapatkan gol acap kali dipersiakan oleh para pemain sama ada rembatan kurang deras atau kecemerlangan pertananan Terengganu menjadi duri dalam daging buat Gergasi Merah.
BACA LAGI: 'Kawal emosi', Nidzam ingatkan pemain Selangor FC 'belajar' terima keputusan pengadil
BACA LAGI: 'Tuah' 2 kad merah, Selangor jumpa TFC di semi final Piala FA
Rawabdeh mengalami pendarahan di kepala susulan pelanggaran bersama Safwan. — Facebook/Selangor FC
Kecederaan di kepala tonggak tengah Gergasi Merah, Noor Rawabdeh pada minit ke-14 menyaksikan import Jordan itu mengalami pendarahan di kepala susulan pelanggaran bersama bek tengah Safwan Mazlan.
Peluang pada minit ke-30 benar-benar dimanfaatkan oleh Terengganu apabila sepakan percuma Safawi membuatkan Sam Somerville tergamam dan meletakkan Terengganu di hadapan untuk babak pertama permainan.
Lima minit kemudian, Terengganu menggandakan jaringan apabila pemain tengah mereka iaitu Nurillo Tukhtasinov berhasil meledak gol kedua menerusi rembatan kaki kirinya.
Pada minit ke-38, kreativiti bahagian tengah Selangor berhasil membantu Alvin Fortes meraih gol pertama buat Gergasi Merah. Gol pertama Gergasi Merah itu memberi harapan buat pasukan Lembah Klang itu untuk memasuki babak kedua selepas ini.
Terengganu berjaya menewaskan Gergasi Merah dengan keputusan 3-2. — Facebook/Terengganu FC
Tiga minit selepas babak kedua bermula, kepala penuh balutan ekoran kecederaan separuh masa pertama tidak menghalang Rawabdeh hadir membuat gol penyamaan buat pasukan kendalian Nidzam Jamil hasil gerakan daripada Fortes dan Ronnie Fernandez.
Hantaran bola yang sempurna daripada Nurillo memberikan peluang untuk Ismahil Akinade menanduk bole ke gawang yang dijaga Sam dan memberikan kelebihan satu jaringan gol buat skuad kendalian Tomislav Steinbruckner pada minit ke-69.
Kekurangan satu gol di belakang Terengganu pastinya memberi 'kerja rumah' buat Nidzam bagi meneliti semula strategi menjelang aksi timbal balik separuh akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor pada 3 Ogos depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram