[VIDEO] Kereta buruk tersidai tepi jalan dah bertahun-tahun, sampai bila PBT nak buat 'donno'?


  • Massa
  • Jumaat, 19 Jul 2024

Lebih 10 kenderaan yang tersadai di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, termasuk dalam kawasan kompleks pasar itu sendiri.

ISU kereta lama ditinggalkan di tepi jalan atau dibiarkan tersadai di petak parkir awam masih terus menjadi permasalahan yang dihadapi warga kota.

Seorang ahli Persatuan Peniaga Dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendedahkan, lebih 10 kenderaan yang tersadai di sekitar Jalan 2/3A, 2/6, Batu View, Pasar Borong Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, termasuk dalam kawasan kompleks pasar itu sendiri.

Lebih parah, individu yang enggan mendedahkan namanya berkata, situasi itu malah memberi keuntungan kepada peniaga warga asing yang menggunakan kenderaan terbiar tersebut sebagai lokasi untuk mereka berniaga.

BACA LAGI: Jika disusun, hampir 6,000 kenderaan tersadai ditunda PBT di Selangor melepasi aras Gunung Everest

BACA LAGI: [VIDEO] Sampai busuk dan tersumbat, parit jadi 'tong sampah' peniaga buang sayur tak elok di Pasar Borong KL

"Kereta, van dan lori yang tersadai kebanyakannya digunakan warga asing untuk menyimpan barang dan melakukan aktiviti jualan barangan basah seperti sayur-sayuran dan ikan.

"Kebiasaannya mereka akan membuat jualan di luar kawasan kompleks Pasar Borong Kuala Lumpur bermula pukul 10 malam hingga 6 pagi.

"Pembeli pula 70 peratus terdiri daripada warga asing kerana di situ memang akan ramai orang lalu-lalang," katanya kepada Majoriti.

Jelas individu tersebut, terdapat juga kenderaan terbiar itu yang masih boleh berfungsi, tetapi tiada cukai jalan.

Kongsinya lagi, terdapat sebuah bengkel di belakang bangunan Jalan 2/3A yang dimiliki warga asing, mengambil upah untuk mengubah suai kenderaan terbiar itu.

"Ada kereta terbiar tersebut yang dibeli oleh warga asing dan digunakan untuk keperluan bisnes mereka," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-07-18 at 22.19.50

Kenderaan yang tersadai digunakan warga asing untuk menyimpan barang dan melakukan aktiviti jualan.

Individu tersebut menambah, selain mencemarkan landskap pemandangan kawasan sekitar, kenderaan lama yang dibiarkan itu juga menyusahkan pengunjung untuk meletakkan kereta mereka bagi membuat urusan pembelian.

Dia dalam pada itu memaklumkan, aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) juga sudah dibuat, namun masih tiada tindakan diambil sehingga kini.

"Berapa tahun lagi nak biarkan kereta tersidai macam ini? Saya berharap PBT dapat turun padang dan ambil tindakan segera dengan menunda semua kenderaan terbengkalai tersebut," adunya.

Untuk rekod, Selangor merekodkan sejumlah 5,728 buah kenderaan terbengkalai dan terbiar ditunda oleh PBT setakat Februari tahun lalu.

Lebih mengejutkan, jika kenderaan-kenderaan tersebut disusun secara menegak, ketinggiannya boleh mencecah lebih 10,000 meter, mengalahkan ketinggian gunung tertinggi di dunia, Gunung Everest setinggi 8,848.86 meter.

Kawasan paling banyak kenderaan ditunda ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebanyak 1,369 buah, diikuti dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) (1,205), dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) (945), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) (696) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) (649) dalam tempoh tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram