'Tuah' 2 kad merah, Selangor jumpa TFC di semi final Piala FA


  • Podium
  • Ahad, 07 Jul 2024

Pemain pasukan Selangor FC meraikan kemenangan selepas berjaya menewaskan Kuching City FC dalam penentuan sepakan penalti pada Ahad.

SELANGOR FC berjaya mara ke separuh akhir Piala FA selepas berjaya menewaskan Kuching City FC 5-4 dalam penentuan sepakan penalti di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor pada Ahad.

Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat secara agregat 4-4 sehingga membawa perlawanan ke masa tambahan dalam aksi kedua suku akhir Piala FA.

Kemenangan Gergasi Merah tidak datang dengan mudah apabila pasukan kendalian Nidzam Jamil terpaksa beraksi dengan sembilan pemain dalam hampir sebahagian 30 minit masa tambahan.

BACA LAGI: Kemasukan matrikulasi: Penekanan berlebihan terhadap meritokrasi berpotensi tingkat jurang sosioekonomi

BACA LAGI: Aktivis politik kena panggil polis dan MCMC, Tian Chua kritik kebebasan bersuara makin terancam sekarang

Ia selepas dua pemainnya, iaitu Yohandry Orozco dan Reziq Banihani dilayangkan kad merah masing-masing ketika waktu kecederaan 90 minit perlawanan dan minit ke-12 masa tambahan.

Dalam aksi penentuan sepakan penalti, Harith Haiqal yang merupakan pengambil kelima sepakan menjadi wira apabila dengan tenang menyempurnakan jaringan menewaskan penjaga gol lawan.

Sebelum itu, pemain import Kuching City, Yuki Tanigawa yang diletakkan sebagai pengambil sepakan penalti keempat pasukan itu gagal menjaringkan gol dengan bola sepakannya terkena palang.

Terdahulu, dalam aksi pada Ahad, pasukan tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal pelawat seawal minit ketiga perlawanan.

Gol itu tercipta hasil gerakan penyerang Kuching City FC, Jordan Mintah yang membuat hantaran lintang dan berjaya ditampan masuk Nur Shamie Iszuan.

Bagaimanapun, jaringan tersebut memberikan motivasi tambahan buat Gergasi Merah yang terus menggandakan asakan berbahaya ke kubu lawan.

Hasilnya, pertahanan Selangor FC, Ahmad Zikri Khalili berjaya mendapatkan gol penyamaan menerusi sepakan voli yang tercetus daripada situasi kelam kabut ekoran daripada sepakan percuma yang diperolehi pasukan pada minit ke-26.

Pemain import sayap Selangor FC, Alvin Fortes kemudiannya menambah jaringan buat tuan rumah dengan rembatan deras leret ke gawang kanan akibat kesilapan bek lawan mengeluarkan bola daripada kawasan penalti.

Selepas insiden kad merah melibatkan Yohandry, pasukan Gergasi Merah seakan-akan mendapat motivasi tambahan yang menyumbang kepada gol ketiga tuna rumah hasil rembatan Fortes.

Namun, Kuching City FC berjaya menyamakan kedudukan di minit akhir perlawanan akibat kesilapan Sommerville yang gagal menumbuk bola dengan kemas sehingga terbias ke kaki pemain lawan dan masuk ke gawang Selangor FC.

Kedua-dua pasukan gagal untuk menambah jaringan ketika masa tambahan dan membawa perlawanan ke penentuan sepakan penalti yang dimenangi Gergasi Merah.

Selangor FC bakal bertemu Terengganu FC dalam perlawanan pertama aksi separuh akhir Piala FA yang berlangsung pada 20 Julai depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram