Polis tahan 4 remaja rogol budak perempuan bawah umur bergilir-gilir dalam kereta dan rumah di Teluk Intan


  • 112
  • Jumaat, 19 Jul 2024

Mangsa mengenali suspek pertama melalui media sosial sebelum suspek pertama memperkenalkan pula mangsa kepada tiga lagi individu tersebut.

POLIS menahan empat remaja lelaki selepas disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun secara bergilir-gilir pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek berusia antara 14 hingga 17 tahun itu ditahan di lokasi berbeza antara pukul 3 petang hingga 10 malam selepas mangsa membuat laporan polis pada pukul 12.26 tengah hari pada Khamis.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, suspek pertama dan kedua merogol mangsa secara bergilir-gilir di dalam kereta ketika mangsa keluar bersama suspek di Air Terjun Lata Kinjang, Tapah pukul 6.30 petang.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Budak itu bukan anak saya,' ipar maut 'in real life' wujud di Pulau Pinang

BACA LAGI: Keputusan bedah siasat Nur Farah Kartini ‘pending laboratory investigation’

Suspek pertama dan kedua merogol mangsa secara bergilir-gilir di dalam kereta ketika mangsa keluar bersama suspek di Air Terjun Lata Kinjang, Tapah.

"Kira-kira 8.30 malam, hari yang sama, suspek ketiga merogol mangsa ketika mangsa mengikuti suspek pulang ke rumahnya di sekitar daerah Hilir Perak.

"Seorang lagi suspek merogol mangsa pada pukul 12.30 tengah malam Khamis di kawasan semak di Teluk Intan ketika mangsa dan suspek keluar bersiar-siar.

"Hasil soal siasat awal yang dijalankan didapati kesemua suspek termasuk dua masih bersekolah mengaku terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Ahmad Adnan, siasatan lanjut mendapati, mangsa mengenali suspek pertama melalui media sosial sebelum suspek pertama memperkenalkan pula mangsa kepada tiga lagi individu tersebut.

Jelasnya, Mahkamah Majistret Teluk Intan pada pagi Jumaat membenarkan empat remaja lelaki itu ditahan reman selama tiga hari sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dengan cadangan pertuduhan.

"Ibu bapa dinasihatkan sentiasa memantau pergerakan anak khususnya anak perempuan supaya tahu dengan siapa dan ke mana lokasi yang dituju bagi memastikan mereka tidak terbabit dengan gejala negatif," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram