[VIDEO] Guru pusat jagaan di Kelana Jaya ditahan disyaki pukul, tendang kanak-kanak autisme


  • 112
  • Khamis, 18 Jul 2024

Suspek didakwa menendang, memukul dan menarik kanak-kanak berkenaan secara kasar sehingga menyebabkan mangsa terjatuh daripada kerusi.

SEORANG guru lelaki ditahan selepas disyaki memukul dan menendang seorang kanak-kanak autisme berusia enam tahun di sebuah pusat jagaan di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Shahrulnizam Ja'afar berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa berusia 36 tahun kira-kira pukul 12.39 tengah hari.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berusia 32 tahun telah menendang, memukul dan menarik kanak-kanak berkenaan secara kasar sehingga menyebabkan mangsa terjatuh daripada kerusi.

BACA LAGI: Risiko budak lelaki didiagnosis autisme, lebih 4 kali ganda berbanding perempuan — Pakar

BACA LAGI: SAVe miliki 5 elemen mesra insan autistik — Nasom

"Pemeriksaan lanjut mendapati ada kesan gigitan pada tangan budak lelaki itu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau, penahanan lelaki tersebut dibuat di kediamannya di Ampang pada pukul 1.13 petang, Khamis.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki melakukan pengabaian terhadap kanak-kanak itu.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini mohon tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram