Paras air Sungai Trolak naik, pencarian bukti kes Nur Farah Kartini ditangguhkan


  • 112
  • Jumaat, 19 Jul 2024

Operasi pencarian bahan bukti yang dikaitkan dengan pembunuhan Nur Farah Kartini ditangguhkan gara-gara cuaca buruk.

OPERASI pencarian bahan bukti yang dikaitkan dengan pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, ditangguhkan berikutan keadaan air di Sungai Trolak di Kampung Batu 4, Slim River, Perak deras dan keruh akibat hujan pada awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Ahmad Faizal Tahrim mengesahkan perkara itu sambil menambah ketinggian air sungai di lokasi berkenaan mencecah tiga meter, berbanding paras biasa iaitu satu meter.

"Selepas mengambil kira situasi dan struktur sungai dengan sisa kayu dan paras air yang tidak menentu, adalah tidak selamat untuk pasukan penyelam meneruskan pencarian," katanya pada Jumaat.

BACA LAGI: Keputusan bedah siasat Nur Farah Kartini ‘pending laboratory investigation’

BACA LAGI: Suspek bunuh Nur Farah Kartini tunjuk kawasan semak, anak sungai di lokasi mayat dijumpai

Menurut Ahmad Faizal, operasi itu akan diteruskan mengikut keperluan dan situasi semasa.

Tinjaun media mendapati dua kenderaan pacuan empat roda yang membawa kira-kira 10 anggota dan pegawai dari Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di lokasi pencarian pada pukul 11.10 pagi.

=

Lokasi mayat Nur Farah Kartini ditemukan pada Isnin lalu.

Selepas pasukan membuat penelitian yang mengambil masa kira-kira sejam didapati air sungai berkenaan keruh, deras dan paras air pada ketinggian 2.9 meter dari jambatan kecil sehingga ke permukaan air, berbanding sebelum ini 3.9 meter.

Sungai Trolak terletak kira-kira 20 minit dari ladang kelapa sawit berdekatan Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor yang menjadi kawasan pencarian bahan bukti sebelum ini.

Pencarian bahan bukti di sebuah parit di ladang kelapa sawit itu sebelum ini menemukan telefon pintar dipercayai milik Nur Farah Kartini, sementara beg tangan mangsa ditemukan di sungai berkenaan.

Mayat Nur Farah Kartini dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit berkenaan kira-kira 6 petang pada Isnin, selepas bekas penuntut Universiti Sultan Idris (UPSI) itu dilaporkan hilang sejak 10 Julai.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang petang Khamis. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram