KEKALAHAN tipis 0-1 dialami Selangor FC dalam pertembungan Derbi Lembah Klang menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Cheras, KL pada Ahad.
Keputusan itu menyaksikan jurang mereka dengan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin lebar dengan enam mata membezakan kedua-dua pasukan itu selepas lima perlawanan.
Penyokong skuad Gergasi Merah sudah tentu kecewa memandangkan ia merupakan kali pertama pasukan terbabit tewas di Stadium Cheras, KL dalam aksi Liga Super kepada seteru setempat mereka itu dalam tempoh 26 tahun.
BACA LAGI: Selangor, Perak dan NSFC jadi 'port' pemain paling 'nakal' Liga Super
BACA LAGI: [VIDEO] Tahniah Selangor Red Giants banggakan Malaysia — Faisal Halim
Skuad Gergasi Merah tumpas di tempat lawan kepada KL City FC. — Facebook/Selangor FC
Tidak cukup dengan itu, keluhan jelas kedengaran di media sosial apabila pengikut setia Selangor FC berasa amat kecewa akan persembahan anak-anak buah Nidzam Jamil.
Selain gagal memanfaatkan gerakan serangan, kebuntuan dalam mencipta peluang amat meresahkan meskipun pemain terbaik pasukan sudah diturunkan.
Perkara itu sekali gus menimbulkan persoalan apabila penyokong beranggapan episod musim-musim lalu sekali lagi menghantui apabila Selangor FC hilang dalam bayang-bayang sendiri.
Melihat kepada luahan kekecewaan itu, berikut merupakan tiga faktor yang menyebabkan skuad Gergasi Merah akan berada di takuk yang lama tahun demi tahun.
1. Kegagalan merekrut import terbaik
Musim lalu, barisan pemain import dibawa masuk membuahkan hasil seperti mana diharapkan, terutamanya Yohandry Orozco, Noor al-Rawabdeh dan pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Super, Ayron del Valle.
Keputusan untuk membawa masuk kesemua pemain itu menyaksikan skuad Gergasi Merah beraksi dengan baik sehingga menyaksikan mereka berada di tangga kedua liga.
Bagaimanapun, bagi musim ini, pasukan berkenaan sekali lagi membuat kesilapan pada jendela perpindahan apabila menandatangani import kurang memuaskan.
Ronnie masih belum mempamerkan aksi terbaik buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Penyerang kelahiran Chile, Ronnie Fernandez adalah salah seorang yang berada dalam kategori berkenaan dengan persembahan mengecewakan di Stadium Cheras menceritakan segala-galanya.
Hal tersebut bukanlah kali pertama ia berlaku kerana beberapa tahun lalu, Selangor FC pernah berdepan masalah demikian sehingga menyaksikan prestasi pasukan kurang konsisten.
Sekiranya pasukan berkenaan dapat mencari solusi dengan menghantar 'scout' lebih dipercayai, mereka pasti dapat mengelak daripada melakukan perbelanjaan yang sia-sia.
2. Mentaliti masih selesa
Jika diperkatakan secara realistik, Selangor FC hanya melabel JDT sebagai satu-satunya pencabar utama mereka meskipun terdapat kelab lain yang beraksi dengan baik setiap musim seperti Terengganu FC dan KL City FC.
Pemikiran sedemikian menyebabkan skuad Gergasi Merah enggan menerapkan mentaliti pencabar, lebih-lebih lagi apabila sebahagian penyokong beranggapan adalah mustahil bagi mereka mencabar juara Liga Super itu.
Jadi, dengan kurangnya desakan daripada pelbagai pihak, pasukan Merah Kuning itu terus terbuai dalam mimpi indah sambil mengenangkan zaman kegemilangan mereka.
Selangor FC masih belum memiliki mentaliti bersaing yang diperlukan. — Facebook/Selangor FC
Meskipun pandangan itu akan ditepis pihak pengurusan, perasaan berpuas hati terhadap kejayaan kecil menjadi bukti pemikiran pasukan belum berada di landasan tepat.
Sebagai contoh, keraian selepas menumpaskan Kuching City FC dalam suku akhir Piala FA sedikit sebanyak menunjukkan Selangor FC akan bergembira dengan keputusan sedemikian.
Sekiranya perkara berkenaan tidak diubah secepat mungkin, Selangor FC akan terus malap meskipun memiliki sokongan paling kukuh dalam arena bola sepak tanah air.
3. Pemain muda yang tidak mencapai standard
Berdasarkan statistik terkini, skuad Gergasi Merah merupakan pasukan Liga Super yang menurunkan purata usia pemain berbanding 12 kelab lain.
Perkara itu membuktikan pihak pengurusan Selangor FC memiliki visi tersendiri dalam membangunkan 'ubi muda' yang kemudiannya akan dapat berbakti buat negara.
Namun, melihat kepada gaya permainan masing-masing, mereka masih belum berada di tahap diperlukan untuk membantu pasukan berkenaan ke tahap lebih tinggi.
Syahir (kiri) masih belum memberikan aksi terbaik dalam kariernya. — Majoriti
Kapten skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Mukhairi Ajmal dan penyerang sayap, Syahir Bashah yang kerap kali diturunkan masih gagal untuk memaparkan aksi lebih konsisten.
Selain itu, pemain seperti Aliff Haiqal Lau dan Aliff Izwan Yuslan yang kerap dimasukkan pada penghujung permainan bergelut dalam membawa sebarang perubahan ketara.
Jika situasi sedemikian berterusan, bintang yang dilahirkan Selangor FC hanya akan berada di tahap konsisten, namun tidak akan dapat menjadikan kelab tersebut sebagai pencabar serius saban musim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram