Milos Gordic ada masa kurang sebulan buktikan kemampuan jika enggan digantikan 3 calon ideal


  • Podium
  • Ahad, 14 Jul 2024

Ketumpulan Milos Gordic di depan pintu gawang nyata mengecewakan penyokong Sang Kenari. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC menepati ramalan apabila mudah melakar kemenangan ke atas Kelantan Darul Naim (KDN FC) 3-0 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat.

Dalam aksi yang berlangsung di laman sendiri itu menyaksikan tonggak Sang Kenari, Rizal Ghazali, Syafiq Ahmad dan Sony Norde menjadi watak penting dalam kemenangan berharga itu.

Bagaimanapun, nama penyerang baharu KDA FC, Milos Gordic sekali lagi mencuri tumpuan penyokong Jelapang Padi khususnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Bimbang keselamatan anak punca Nunez tumbuk fans Colombia, mungkin kena ban beraksi bersama Liverpool

BACA LAGI: [VIDEO] 'Mental kau kuat dik', juara cilik badminton terpaksa selfie lepas tak dilayan mahu ambil gambar kenangan

Milos

Faktor taktikal berpotensi jadi pendorong Nafuzi (kanan) ingin mendapatkan khidmat Gordic. — Facebook/KDA FC

Ia susulan selepas import kelahiran Serbia itu dilihat masih bergelut untuk jaringan peribadinya.

Jika melihat kepada Transfermarkt, Gordic hanya mencatatkan satu gol dalam aksi Piala FA 2024 ketika Kedah bertemu Bukit Tambun Jun lalu.

Berikutan itu, ketajaman Gordic di hadapan pintu gol sekali lagi dikritik oleh penyokong Sang Kenari yang menginginkan penyerang berbisa.

Dalam pada itu, menjelang jendela perpindahan kedua yang dibuka Ogos nanti, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang dijangka berpotensi untuk menggantikan posisi Gordic.

David da Silva

Bersama Persib Bandung, Da Silva muncul penjaring terbanyak. — Agensi

1. David da Silva

Nama penyerang pasukan Persib Bandung, David da Silva bukanlah asing dalam rantau Asia Tenggara terutamanya dalam kalangan peminat bola sepak tanah air kerana dia pernah mewarnai Liga Super bersama Terengganu FC tiga tahun lalu.

Meskipun kurang cemerlang bersama Sang Penyu ketika itu namun import Brazil itu berjaya buktikan kebolehan ketika bersama salah satu kelab Indonesia.

Bersama Persib Bandung, Da Silva muncul penjaring terbanyak dengan 30 gol dijaringkannya sepanjang musim.

Dalam pada itu, nama Da Silva mula disebut-sebut penyokong Jelapang Padi khususnya untuk menggantikan posisi Gordic kelak.

Caion

Kedah mempunyai peluang untuk merekrut bekas pemain Selangor FC itu. — Agensi

2. Herlison Caion

Nama import Brazil, Herlison Caion kini menjadi sebutan penyokong Sang Kenari kerana ketumpulan yang dihadapi oleh skuad tersebut.

Caion sebelum ini menabur bakti bersama salah satu kelab Thailand, Chonburi FC namun jika melihat kepada Transfermarkt, kontraknya bersama pasukan itu tamat pada 1 Julai 2024.

Dengan kontrak Caion sudahpun tamat, Kedah mempunyai peluang untuk merekrut bekas pemain Selangor FC itu.

Caion yang sebelum ini beraksi bersama Gergasi Merah bagi musim 2022 itu meledak 24 gol dan membuat tujuh assists selepas 33 perlawanan berlangsung.

Alves

Alves kini berstatus sebagai ejen bebas. — Facebook/KDAFC

3. Matheus Alves

Negeri Sembilan FC merupakan salah satu pasukan terbaik dari segi serangan apabila berjaya menjaringkan 33 gol daripada 22 perlawanan pada musim 2022.

Meskipun memiliki lambakan pemain bintang di posisi berkenaan, majoriti besar daripada gol yang terhasil berpunca daripada Matheus Alves.

Sentuhan Alves di atas padang juga tidak mengecewakan selepas dia turut menjadi penyumbang terbesar skuad Jang dengan enam gol berjaya disumbat sepanjang musim.

Peluang Sang Kenari untuk menyambar Alves masih terbuka luas kerana melihat kepada Transfermarkt, pemain berketinggian 1.88 meter itu kini berstatus sebagai ejen bebas.

Dalam pada itu, Alves antara pemain yang wajar diberi peluang oleh Nafuzi Zain bagi menggantikan posisi Gordic. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram