Kumaahran yakin boleh ganti Saddil, Romel tidak rasa 'asing' bersama JDT


  • Podium
  • Sabtu, 13 Jul 2024

Sang Badak dilihat berdepan cabaran sukar untuk meraih keputusan positif dalam aksi bertemu Harimau Selatan saingan Liga Super 2024. — Facebook/Sabahfc

PERLAWANAN Sabah FC bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dijangka lebih sukar apabila difahamkan The Rhinos kehilangan khidmat dua tonggak utama dalam aksi Liga Super keempat mereka di Stadium Likas dekat Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.

Pada Jumaat, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan dua tonggak berkenaan adalah Saddil Ramdani dan Darren Lok susulan kecederaan dialami mereka, namun beberapa pemain lain bersedia mengambil alih posisi mereka.

Dalam pada itu, S. Kumaahran diberi kepercayaan untuk menggantikan Saddil di sayap kanan, manakala posisi Darren mempunyai dua pilihan sama ada Azhad Harraz Harun atau Jafri Firdaus Chew.

BACA LAGI: Kalau seri sudah memadai, elak bolos sampai 3 gol, pesan Legenda Sabah

BACA LAGI: 'Kami mahu menang lawan Penang', bintang Perak FC harap pemain ke-12 bantu kutip 3 mata penuh

WhatsApp Image 2024-07-13 at 11.59.06 (1)

S. Kumaahran (dua kiri) diberi kepercayaan untuk menggantikan Saddil di sayap kanan. — Facebook/Sabahfc

Meskipun Saddil merupakan watak penting untuk Sabah namun Kumaahran dijangka mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh import Indonesia itu.

"Kami sentiasa berkerja keras dalam sesi latihan kerana kami tahu agak sukar untuk berdepan dengan pasukan Liga Super yang semakin menunjukkan taring.

“Kami tahu impak yang Saddil hasilkan di atas padang untuk Sabah, tetapi saya tahu saya boleh melakukan yang terbaik di sayap kanan. Saya perlu menyerang dengan baik dan juga bertahan apabila diperlukan.

“Jurulatih selalu menasihat agar kami tidak leka walaupun hanya satu minit ketika berdepan JDT nanti, kata pemain berusia 28 tahun itu.

Kehilangan penyerang berbisa Brazil, Ramon Machado diilihat memberi kesan kepada prestasi Sabah dan ia turut diakui oleh Kumaahran.

"Sudah pasti kehilangan Ramon memberi kesan mendalam kepada Sabah kerana dia merupakan penyerang tulen yang boleh mengancam pertahanan pertahanan lawan.

"Ramon banyak membantu Sabah tetapi sudah tiba masanya dia mencabar kemampuan diri dan meningkatkan lagi tahap permainan," katanya.

Untuk rekod, Sang Badak kini berada di tangga keempat liga dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan.

WhatsApp Image 2024-07-13 at 11.59.07

Romel Morales mendedahkan bahawa dia sudah cukup serasi dengan JDT. — Facebook/Sabahfc

Sementara itu, pemain naturalisasi Harimau Malaya, Romel Morales memberi gambaran ketika ini dia sudah cukup serasi dengan pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT).

“Saya rasa seperti berada dalam sebuah keluarga. Sejak saya menyertai kelab ini, saya langsung tidak berasa 'asing' dengan kelab ini,” kata bekas pemain Kuala Lumpur City FC itu.

JDT, yang diketuai oleh Hector Bidoglio, pastinya berharap Morales tampil cemerlang menentang Sabah untuk mengekalkan mereka di puncak Liga Super.

Harimau Selatan ketika ini mendahului dengan mengutip 12 mata selepas empat perlawanan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram