BERBULAN-BULAN mengalami tunggakan gaji tidak mematahkan semangat kem Kuala Lumpur (KL) City FC, malah para pemain juga masih gembira menjalani latihan di Kompleks Sukan PKNS di Kelana Jaya, Selangor.
Walaupun mempunyai isu namun pemain The City Boys masih memberi komitmen 100 peratus dengan tugasan besar menanti iaitu saingan Liga Super Lembah Klang menentang Selangor di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur pada Ahad.
Pemain pertahanan tengah Australia, Giancarlo Gallifuoco yang telah bersama kelab itu selama empat musim, menjadi kunci kepada keharmonian bilik persalinan mahupun dalam padang KL City.
BACA LAGI: 'Kurangkan kuota import bukan penyelesaian masalah tunggakan gaji', tegas legenda Harimau Malaya
BACA LAGI: Bukan kelab pilihan tapi 3 pemain Selangor, TFC dan Kuching City masih 'deliver' tugas dengan baik
Gallifuoco bagaimanapun tidak dapat menyorok bahawa keadaan menjadi lebih sukar bagi dia dan rakan sepasukan kerana isu kewangan yang seolah-olah tidak menemui titik nokhtah.
“Saya tidak akan berbohong, kami tidak bersedia seperti yang kami boleh. Saya faham isu ini akan menjadi tumpuan, tetapi itulah yang berlaku. Kami bertarung lebih banyak pertempuran di luar padang berbanding di atas padang.
"Adalah bohong untuk mengatakan bahawa isu gaji tidak akan menjejaskan kami dalam perlawanan derbi yang besar ini. Para pemain melakukan yang terbaik untuk memberi tumpuan kepada permainan tetapi perjalanan kami lebih sukar daripada Selangor.
“Apapun, kami akan hadir pada Ahad ini dan memberikan yang terbaik. Ia akan menjadi cerita yang indah jika kami boleh mendapat tiga mata pada hari itu," kata pemain tinggi lampai itu.
Gallifuoco mempunyai hubungan yang baik dengan peminat kelab dan sentiasa menyatakan cintanya kepada KL City tetapi keadaan kewangan masih menjadi duri, lebih-lebih lagi pengurusan tertinggi tidak menangani situasi itu.
Gallifuoco antara pemain yang setia bersama KL City sejak musim 2021. — Facebook/KLCityFC
“Orang ada masalah, orang ada keluarga, orang ada tekanan. Tetapi, kami belum mempunyai sebarang jaminan lagi. Tiada siapa yang bercakap dengan kami lagi.
“Tiada lagi penjelasan daripada pengurusan tertinggi selain Stanley (Bernard Samuel) yang sentiasa bersimpati dengan pemain dan cuba menjadi orang tengah.
“Anda tidak boleh memanggil pemain ini mementingkan diri sendiri, atau mementingkan wang. Mereka bekerja setiap hari, memaksimumkan diri mereka dan tetapi tidak mendapat bayaran balik," tambahnya.
Pasukan The City Boys berada di tangga kelima liga dengan empat mata daripada tiga perlawanan, manakala Selangor di tangga kedua dengan sembilan mata.
Melawan Gergasi Merah pastinya akan menceriakan kem Kuala Lumpur, tetapi Gallifuoco juga berharap kemenangan itu boleh membuka mata pihak pengurusan untuk memberi sedikit penerangan tentang keadaan kewangan mereka. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram