SETAKAT lima perlawanan Liga Super setakat ini, pelbagai kejadian yang telah berlaku dalam padang seperti insiden pergaduhan sehingga menjejaskan permainan sesebuah pasukan.
Insiden pergaduhan antara pemain kadang tercetus selepas berlakunya kekasaran dan kesalahan, namun ia menjadi semakin parah jika mereka gagal mengawal perasaaan marah apabila berada dalan situasi tersebut.
Kekerasan yang dilakukan oleh pemain itu juga pasti menerima balasan apabila pengadil perlawanan akan bertindak untuk melayangkan kad merah atau kad kuning sebanyak dua kali kepada mereka.
BACA LAGI: Lepas gagal ke Liga Super, Perlis United tiba-tiba tarik diri Piala Belia
BACA LAGI: Freekick samba Neto bantu Penang raih kemenangan sulung, sebulan cuti punca Perak tumpul
Istilah pemain yang sering mendapat 'hadiah' kad merah atau kad kuning dipanggil sebagai pemain 'nakal' dan 'keras', kebiasaannya mereka beraksi di posisi pertahanan serta bahagian tengah pasukan.
Walaupun masih terlalu awal untuk melihat statistik pemain terbanyak mendapat kad merah dan kuning namun ia boleh menjadi pengajaran kepada tonggak lain untuk lebih berhati-hati ketika membuat terjahan.
Berdasarkan statistik yang diperoleh dalam laman sesawang Transfermarkt, Majoriti akan merungkai tiga pemain paling 'nakal' bagi saingan Liga Super setakat ini;
1) Jacque Faye
Faye memungut satu kad merah dan satu kad kuning setakat ini. — Facebook/NSFC
Bek tengah Negeri Sembilan FC (NSFC), Jacque Faye mula menyarung jersi skuad Hobin Jang Hobin pada awal musim ini selepas berkhidmat selama semusim bersama PDRM FC sejak Januari 2023.
Perpindahan ke Negeri Sembilan berbaloi buat Faye apabila pemain yang turut bertugas sebagai pemain tengah bertahan itu menjadi watak untuk tiga perlawanan awal Liga Super sebelum digantung perlawanan.
Import kelahiran Senegal berkenaan dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan semasa aksi tewas 0-3 di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC pada 21 Jun lalu selepas membuat terjahan keras ke atas Ryan Lambert.
Pada awalnya, Faye hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil, S. Logeswaran selepas membuat terjahan keras ke atas Ryan Lambert namun digantikan dengan kad merah hasil semakan sistem bantuan video pengadil (VAR).
Pemain berketinggian 1.93 meter tersebut juga memungut satu kad kuning setakat ini iaitu ketika tewas 1-3 di tangan Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 18 Mei lepas.
2) Alex Agyarkwa
Sejak menyertai Selangor FC pada musim 2021, Alex Agyarkwa jarang mendapat kepercayaan untuk menjadi kesebelasan utama namun pemain berusia 23 tahun itu akan tampil dengan persembahan cemerlang jika khidmatnya diperlukan.
Musim ini juga menyaksikan pemain kelahiran Ghana itu baru merekodkan satu penampilan Liga Super iaitu ketika perlawanan bertemu Perak FC yang menyaksikan Selangor menang 2-1 ke atas skuad Seladang.
Malang buat pemain tengah muda itu apabila penampilan pertamanya musim ini tamat pada minit ke-64 apabila Alex dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan.
Alex yang cuba membuat hantaran gagal mengawal diri sebelum kaki kanannya didapati memijak lawan, Wan Zack Haikal Wan Noor dan semakan VAR mengesahkan pemain itu wajar dibuang padang.
Layangan kad merah berkenaan menyebabkan Alex terlepas peluang untuk diturunkan dalam aksi derbi Lembah Klang bertemu KL City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dekat Cheras pada Ahad.
3) Luiz Henrique Motta
Luiz Motta antara bek 'keras' Perak FC. — Facebook/PerakFC
Pertahanan tengah, Luiz Henrique Motta menyertai Perak FC pada jendela perpindahan awal musim ini bagi membantu menyelesaikan masalah pertahanan yang dilami skuad kendalian Yusri Che Lah pada tahun lalu.
Luiz Motta tidak dinafikan cemerlang beraksi sebagai bek tengah Perak namun kelekaannya juga memakan diri apabila sudah merekodkan satu kad merah hasil mengumpul dua kad kuning dalam satu perlawanan.
Pemain kelahiran Brazil itu merekodkan kad merah pertama pada aksi Liga Super 2024/2025 ketika bertemu Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak selepas menerima kad kuning kedua akibat mengasari Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim.
Bek berusia 27 tahun itu juga mendapat kad kuning kedua ketika perlawanan menang 0-2 di tangan Kedah Darul Aman (KDA FC) pada 18 Mei 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram