KAKI kanan Lionel Messi kelihatan bengkak semasa duduk di bangku simpanan akibat terjahan keras yang dialaminya semasa perlawanan akhir Copa America antara Argentina dan Colombia pada Isnin.
Messi tidak dapat meneruskan perlawanan selepas mengalami kecederaan di bahagian buku lali kaki kanannya.
Terjahan pertama yang dialami oleh Messi pada minit ke-35 berpunca daripada pertahanan Colombia, Santiago Arias selepas menghalang asakan kapten Argentina itu sehingga mengerang kesakitan.
BACA LAGI: [VIDEO] Cifu antara 3 bintang 'terlepas mulut buaya, masuk mulut harimau' musim ini
Namun, bintang Argentina itu masih meneruskan permainan meskipun mengalami kesakitan di bahagian buku lalinya.
Terjahan kedua pula dilakukan oleh Luis Diaz (Colombia) pada minit ke-64 permainan sehinggakan Messi melambaikan tangan ke arah bangku simpanan Argentina sebagai tanda minta untuk digantikan.
Melihat keadaan itu, pengendali Argentina, Lionel Scaloni menggantikan Messi dengan Nicolas Gonzalez pada minit ke-66 sehingga membuatkan bintang dunia itu menangis ketika meninggalkan padang permainan.
Namun tangisan Messi itu tidak sia-sia apabila jaringan tunggal rakan sepasukannya, Lautaro Martinez memacu kemenangan Argentina untuk mempertahankan gelaran Copa America 2024 setelah menumpaskan Colombia 1-0 dalam aksi final itu.
Jaringan pada minit ke-112 sudah cukup buat skuad bimbingan Lionel Scaloni merangkul trofi ketiga di pentas utama selepas bergelar juara dunia pada 2022 dan trofi Copa America pada 2021.
Malah lebih membanggakan, skuad La Albiceleste mencipta rekod baharu kejohanan dengan bergelar juara buat kali ke-16 Copa America. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram