'No gaji no problem', KL City raja baharu Derbi Lembah Klang, padam sejarah 26 tahun milik Selangor


  • Podium
  • Ahad, 14 Jul 2024

Aksi di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada Ahad menyaksikan Selangor tewas 0-1 di tangan tuan rumah. — Facebook/Selangor FC

AKSI derbi Lembah Klang menyaksikan Kuala Lumpur (KL) City FC berjaya mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya meraih kemenangan ke atas Selangor FC selepas lebih 26 tahun dalam aksi Liga Malaysia dengan jaringan tipis 1-0 pada Ahad.

Menerusi perlawanan kelima Liga Super 2024 yang berlangsung di Stadium Cheras, Kuala Lumpur, kedua-dua pasukan dilihat menampilkan corak permainan yang agak perlahan pada separuh masa pertama.

Peluang pertama perlawanan hadir pada minit ke-13 menerusi tandukan pemain tengah KL City FC, Zhafri Yahya yang menerima hantaran lintang daripada rakan sepasukan, namun dinafikan ketangkasan penjaga gol Selangor FC, Samuel Somerville.

BACA LAGI: PN makin bergolak menjelang PRK DUN Nenggiri?

BACA LAGI: Protes keluar Dewan ketika persidangan Parlimen budaya politik tak sihat

Skuad Gergasi Merah kemudiannya hampir memecah kebuntuan pada minit ke 35 selepas hantaran Ronnie Fernandez daripada bahagian tengah padang berjaya meloloskan pemain sayap pasukan, Alvin Fortes untuk tinggal berdepan dengan penjaga gol lawan.

Namun, Fortes gagal menyudahkan peluang terhidang apabila hanya melepaskan rembatan lemah yang mudah dibaca oleh penjaga gawang KL City FC, Azri Ghani.

Memasuki separuh masa kedua, skuad Warga Kota terlebih dahulu meningkatkan serangan mereka ke kubu lawan menerusi beberapa gerakan berbahaya.

Hasilnya, penyerang import KL City FC, Jovan Motika berjaya mencipta jaringan tunggal selepas menolak masuk bola menerusi celah kaki Samuel pada minit ke-62

Sebelum itu, Jovan menerima hantaran pendek daripada Kenny Palraj yang merampas bola dari kesilapan pemain tengah Selangor FC, Nooa Laine di kawasan tengah padang.

Usaha Gergasi Merah untuk mencari jaringan penyamaan bagaimanapun gagal dengan beberapa gerakan serangan yang cuba dilakukan berjaya dengan mudah dipatahkan barisan pertahanan KL City FC.

Kekalahan 0-1 itu menyaksikan anak buah Nidzam Jamil kini ketinggalan enam mata di kedudukan kedua di belakang pendahulu Liga Super 2024, Johor Darul Takzim (JDT) yang memungut 15 mata selepas lima perlawanan.

Aksi derbi Lembah Klang kali ini berlangsung ketika KL City FC dilaporkan sedang dilanda masalah kewangan apabila pemainnya dilaporkan masih belum menerima gaji sejak beberapa bulan lalu.

Dalam pada itu, keputusan mengecewakan itu turut mendapat kritikan daripada penyokong Selangor FC yang tampil menimbulkan persoalan mengenai ketajaman barisan hadapan pasukan kesayangan mereka.

Malah, mereka turut menyifatkan bahawa skuad Gergasi Merah seakan-akan beraksi tanpa penyerang dalam aksi berkenaan.

Pada masa sama, terdapat juga peminat yang berpandangan bahawa pasukan kendalian Nidzam seakan-akan memasuki perlawanan terbabit dengan terlalu memandang rendah terhadap pasukan lawan sehingga menyebabkan mereka gagal mencipta kemenangan.

"Selangor takde striker ke?" soal Liaa Yusoff.

"Passing belakang lagi. Sayang sangat dengan Ronnie itu," tulis Fariz Shah.

"Striker Ronnie macam dah mula scam, tak serius," kata Akimi Angah.

"Acah main relaks makan tuan," ujar Muhammad Zaid.

"Terlalu confident dan tamak," kata Muhamad Hanifah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram